RUPA paras cantik dan penampilan yang seksi membuatkan Tisya Ong sering diburu golongan VIP dan suami orang.
Pelakon berusia 22 tahun itu mengakui ramai lelaki dari golongan tersebut yang cuba mendekati dan mendampinginya.
Namun anak bongsu daripada dua beradik ini menjadikan pesanan orang tua sebagai azimat agar tidak terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki berhidung belang meskipun ada yang cuba menjerat dengan
kemewahan dan wang ringgit.
Katanya, balasan Tuhan itu benar. Setiap perbuatan, baik buruk akan dibalas seadilnya.
“Jujur, memang ada VIP dan suami orang cuba mendekati. Ada yang hantar pengawal keselamatan untuk ‘merisik’ dan cuba mendapatkan nombor telefon saya melalui rakan.
“Tapi semua saya tolak cara baik. Sebolehnya saya elak menjalinkan hubungan dengan suami orang atau yang sudah berkeluarga.
“Saya percaya pada kifarah, kalau kita rampas milik orang, perkara itu akan kena balik kepada kita. Allah akan balas setiap perbuatan hamba-Nya,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Hawt Fellas di Cyberjaya baru-baru ini.
Tisya juga tidak menafikan ada kaum sejenis yang cuba ‘cucuk jarum’, menggoda dengan menghantar mesej di media sosial.
Bagaimanapun, pemegang mahkota Miss Eco International Malaysia 2023 ini masih waras memilih baik dan buruk.
“Saya tinggal dengan keluarga, dibenarkan pindah pun sekiranya saya berkahwin satu masa nanti.
“Setiap perbuatan saya berkait dengan nama keluarga. Saya tak mahu bergaul dengan kelompok yang salah agar tidak dipandang serong. Sebolehnya saya jauhkan,” katanya lagi.
RESTU KELUARGA
Penglibatan pelajar dalam bidang kewangan dan perbankan di sebuah universiti swasta ini dalam dunia peragaan dan lakonan tidak bermula mudah.
Dia mengakui terpaksa menyembunyikan penglibatan dalam dunia modelling di peringkat awal kerana tidak mendapat restu keluarga.
“Dulu saya buat senyap-senyap. Tapi ibu bapa saya mula beri sokongan selepas saya memenangi Miss Eco International Malaysia tahun ini.
“Penglibatan saya dalam dunia modelling dan lakonan adalah bersyarat. Mak ayah hanya membenarkan sekiranya saya mampu seimbangkan pelajaran dan kerjaya.
“Saya berjaya buktikan perkara itu dan membuatkan orang tua saya bangga,” katanya yang mengidolakan Maya Karin dan Fasha Sandha.
Dalam pada itu, Tisya meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menjadikan bidang diminatinya sebagai kerjaya.
Gadis berdarah kacukan Melayu dan Cina yang bakatnya dicungkil menerusi Instagram ini berazam tidak akan mengabaikan pelajaran meskipun giat mengejar impian menjadi pelakon berjaya.
“Saya memang minat dengan dunia lakonan dan sebelum ini suka tengok orang berlakon. Saya tak pernah terfikir akan terima tawaran menjadi pelakon.
“Susah sebenarnya mahu seimbangkan antara pelajaran dan bidang lakonan. Tetapi saya membuktikan saya dapat melakukannya,” jelasnya.