Tiga buruh didakwa rogol remaja perempuan 15 tahun

Tiga buruh termasuk dua beradik didakwa rogol remaja perempuan 15 tahun

TIGA pekerja kontrak termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, awal bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga pekerja kontrak termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang merupakan kenalan mereka di Bandar Baru Uda, di sini awal bulan ini.

Ketiga-tiga tertuduh, Najib Hashim, 22; Muhammad Nazim Hashim, 18, dan seorang rakan mereka, Mohamad Rizuan Semail, 18, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Najib dan adiknya, Muhammad Nazim didakwa telah merogol mangsa di dalam sebuah kenderaan berwarna hijau di tepi jalan di Bandar Baru Uda pada pukul 9 malam, 4 Ogos lalu.

Manakala, Mohamad Rizuan pula didakwa atas dua pertuduhan merogol mangsa sama di sebuah kediaman beralamat di Bandar Baru Uda masing-masing pada pukul 9 malam 5 Ogos dan 10 malam keesokan harinya.

Atas kesalahan tersebut, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Peguam ketiga-tiga tertuduh, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana mereka hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

“Kesemua mereka turut menanggung keluarga termasuk ibu bapa yang tidak sihat selain adik kecil yang masih bersekolah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib dan Muhammad Nazim dijamin sebanyak RM15,000 masing-masing, manakala Mohamad Rizuan pula diberi jaminan sebanyak RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

Siti Noraida turut memerintahkan kesemua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak menghampiri atau mengganggu saksi serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Siti Noraida turut menetapkan tarikh 18 Oktober untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya