PASIR PUTEH: Tiga beranak dari Kampung Telaga Papan, di sini menzahirkan semangat cintakan tanah air dengan menunggang motosikal mengelilingi Semenanjung Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan.
Konvoi sejauh 2,000 kilometer itu diketuai oleh Mohd. Zaki Md. Nor, 52, bersama dua anaknya Ulil Amier, 24, dan Ulil Amirul, 20.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Zaki berkata, kesemua perbelanjaan itu ditanggung sendiri selain dibantu oleh 12 adik-beradiknya yang bernaung di bawah Kelab Tukang Besi Kelantan.
“Saya bersama anak-anak membawa semangat penduduk Kampung Telaga Papan yang turut menzahirkan semangat cintakan tanah air.
“Kembara selama tujuh hari itu melibatkan laluan pantai bermula dari Kampung Telaga Papan – Terengganu – Kuantan – Skudai – Seremban – Ipoh – Alor Setar – Kuala Perlis dan Baling sebelum kembali ke kampung halaman pada 30 Ogos,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Majlis pelepasan di sempurnakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.
Mohd. Zaki memberitahu, selepas menamatkan misi itu, penduduk kampung akan mengadakan jamuan gulai kawah daging kerbau bagi menyambut kepulangan mereka.
Katanya, majlis tersebut akan dimeriahkan dengan sambutan ambang Merdeka pada malam tersebut.
“Sepanjang kembara itu, Jalur Gemilang akan diagihkan kepada orang ramai terutama remaja dan kanak-kanak bagi menyemarakkan kemeriahan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaaan ke-66.
“Kami menggunakan sebuah motosikal Honda Adv dan dua buah Honda Rsx dengan membawa alat ganti jika mengalami kerosakan,” ujarnya.
Sementara itu, Ulil Amier mengakui teruja selepas kali pertama menjayakan ekspedisi patriotisme sempena ulangtahun kemerdekaan negara.
Katanya, sebelum ini ayahnya sering membuat kayuhan (berbasikal) mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh pelosok negara yang turut membakar semangatnya bersama menjayakan Jelajah Merdeka pada tahun ini. – UTUSAN