Tiga beranak berlindung di rumah daif, usang

Tiga beranak berlindung di rumah daif, usang

NIK Mustapha Nik Leh dan keluarganya tinggal di rumah yang reput dimakan anai-anai di Kampung Alor Piah Chetok, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kesempitan hidup memaksa tiga beranak berlindung di sebuah rumah usang yang sudah dimakan anai-anai dan hanya menunggu masa menyembah bumi di Kampung Alor Piah, Chetok di sini.

Setiap kali hujan, pasangan suami isteri itu, Nik Mustapha Nik Leh, 58, dan Norlida Zaid, 56, yang menghidap kanser ovari serta ibunya Mek Jah Yacoob, 84, berdoa supaya rumah mereka tidak runtuh ditiup angin disebabkan sturukturnya yang tidak kukuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Mustapha berkata, pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak menentu menyebabkan dia gagal menyediakan sebuah ‘mahligai’ selesa untuk isteri dan ibunya.

“Usahkan bina baharu, nak baiki ganti dinding pun saya tidak ada wang. Lagipun pendapatan menoreh getah secara pawah tidak menentu.

“Saya hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM20 seminggu. Selain itu penyakit kencing manis turut membantutkan saya untuk bekerja kerana cepat letih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Nik Mustapha berkata, sudah 35 tahun dia dan isteri menumpang di rumah milik sanak-saudara.

Katanya, bagi mengelakkan ‘mahligai’ itu runtuh dia mengambil inisiatif dengan meletakkan batu-bata di bawah untuk menyokong keseluruhan struktur rumah tersebut.

“Ibu menghidap kencing manis dan darah tinggi. Setiap bulan ibu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250, namun ia hanya cukup untuk perbelanjaan ubat-ubatannya.

“Saya tiada zuriat sebab isteri tidak dapat mengandung selepas ovarinya dibuang tujuh tahun lalu. Dia kini masih lagi menjalani rawatan susulan enam bulan sekali,” ujarnya.

Katanya, setiap kali menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, dia terpaksa meminta bantuan jiran menghantarnya.

“Saya hanya ada sebuah motosikal uzur. Nak ke mana-mana susah, terpaksa minta bantuan jiran yang mempunyai kereta.

“Impian untuk memiliki rumah sendiri diharap menjadi kenyataan kerana mempunyai tanah sebelah keluarga isteri,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nik Mustapha Nik Leh di 153056557571 atau hubungi talian 0139996305. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya