GOMBAK: Keputusan tidak rasmi menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditinggalkan pencabar utamanya daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.
Setakat pukul 6.52 petang ini, Amirudin hanya mendapat 14 undi berbanding Hanif sebanyak 79 undi, manakala calon bebas, G. Suman masih tidak memperoleh sebarang undian.
Bagaimanapun, ketika ini hanya ada satu daripada 86 kotak undi tiba di pusat penjumlahan rasmi undi Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sungai Tua, di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, di sini.
Amirudin berdepan saingan tiga penjuru dalam PRN Selangor menentang Muhammad Hanif dan Suman.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, Pas dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan. – UTUSAN