JERLUN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yakin perpecahan undi tidak akan berlaku disebalik tindakan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jerlun, Abdul Ramli memilih bertanding atas tiket Bebas.
Menurut Ashraf, tindakan Abdul Ramli bertanding atas tiket Bebas tidak akan memberi kesan selain penyokong Pas akan tetap bersama calon yang diletakkan oleh PN.
Selain itu, katanya, PN juga dapat menarik sokongan besar daripada penyokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mana perjuangan asal mereka adalah daripada Bersatu.
“Perlu diingat kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Kota Siputeh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu juga adalah atas bantuan daripada Bersatu.
“Dan tidak mustahil PH sendiri juga boleh hilang undi mereka sendiri kerana sewaktu penamaan calon sebelum ini saya lihat ramai penyokong mereka melaungkan sokongan kepada calon Bebas,” katanya ketika turun padang bertemu para pemimpin setempat di Kampung Pak Chik di sini, semalam.
DUN Kota Siputeh bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Mohd. Ashraf, penyandang, Dr. Salmee Said dari PH dan Abdul Ramli.
Dalam pada itu, Mohd. Ashraf berkata, sekiranya dipilih pada PRN kali ini, pihaknya juga berhasrat untuk membuka dua pusat khidmat bagi memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatannya.
“Saya cadang untuk buka pusat khidmat di Kodiang dan satu lagi mungkin di Kerpan atau Sanglang.
“Ini dapat memudahkan rakyat untuk datang ke pusat khidmat bagi sebarang urusan malah mereka juga tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan khidmat wakil rakyat,” katanya.-UTUSAN