SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri selesai menunaikan tanggungjawab pada pilhan raya negeri (PRN) bagi kawasan tersebut.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu hadir mengundi bersama isteri, Toh Puan Jusmalailani Jusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang, di sini pada pukul 11 pagi.
Muhammad Sanusi yang mengundi di saluran dua dilihat selesai mengundi kira-kira 20 minit kemudian dan turut beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.
Ketika ditemui pemberita, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, tidak sukar untuk gabungan tersebut menang pada PRN kali ini.
“Saya tidak rasa gemuruh atau gementar, biasanya kalau tak ada perasaan seperti ini tanda-tanda hendak menang.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kedah yang keluar mengundi, ikutlah pilihan masing-masing kerana itu hak kita cuma sebagai calon yang bertanding saya harap parti saya menang,” ujarnya.
Muhammad Sanusi mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam pertembungan dua penjuru dengan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri dengan jumlah majoriti sebanyak 2,455 undi menewaskan pesaingnya, Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd. Nazri Abu Hassan (Pakatan Harapan). –UTUSAN