Tiada niat ‘tunggang’ nama arwah Siti Sarah – Iman Troye - Utusan Malaysia

Tiada niat ‘tunggang’ nama arwah Siti Sarah – Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH pastilah, setiap apa yang dilakukan seorang anak seni akan hadir juga golongan yang kurang senang atau suka.
Itu ibarat perkara wajib yang harus ditempuhi mereka yang bergelar anak seni.

Perkongsian penyanyi muda, Iman Troye yang menyanyikan semula lagu Allahyarham Siti Sarah, Kesetiaan turut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Ada yang suka, namun ada juga yang tak senang hati. Iman dikatakan sengaja menunggang kesedihan dan kerinduan warganet terhadap Allahyarham dengan menyanyikan lagu popularnya.

Sehingga ada yang minta Iman berhenti guna nama Allahyarham. Jawablah mendapatkan Iman.

Apakah niatnya menyanyikan semua lagu Kesetiaan? Apakah Siti Sarah memberi impak cukup besar dalam hidupnya? Iman, Jawablah!

Perkongsian Iman baru-baru ini mengundang kesedihan warganet yang turut merindukan sosok bintang seni, Allahyarham Siti Sarah. Iman juga berkongsi tentang kenangan bersama arwah. Apa yang membuatkan Iman terkenang dengan arwah?

Dulu Kak Sarah selalu tanya khabar saya, hantar pesanan dengan kata-kata semangat. Dia selalu memberi sokongan. Genap dua tahun pemergian Allahyarham, rasa kehilangan itu masih ada.

Kak Sarah pernah cakap, dia percaya satu hari nanti saya akan berdiri di atas pentas besar membuktikan bakat. Jadi, janji saya kepada dia untuk sentiasa berusaha sebaiknya, bekerja keras dalam apa sahaja yang saya lakukan.

Tetapi dalam kesedihan dan kerinduan itu, ada pula puak-puak tertentu yang tidak senang dengan perkongsian itu. Ada yang dakwa, Iman ‘menunggang’ kesedihan itu. Sengaja guna nama arwah? Komen sikit.

Hakikatnya, itulah norma kehidupan kita sekarang. Apa sahaja yang kita lakukan, pelbagai reaksi baik atau buruk itu pasti ada. Tak pernah walau sekali saya terfikir untuk menunggang kesedihan, guna nama Kak Sarah.

Cuma saya pernah menyanyikan lagu Kesetiaan itu di Tiktok Live. Ada ramai juga peminat yang minta agar saya menyanyikan semula lagu itu. Jadi, saya fikir kenapa tidak kan? Ini adalah hadiah untuk mereka yang turut merindukan Allahyarham.

Ada yang suka dan ada yang tetap anggap Iman gunakan lagu serta kerinduan terhadap arwah untuk lariskan video tersebut?

Jujur, saya tak pernah terfikir yang akan ada komen sebegitu. Niat saya baik, mahu menyampaikan kerinduan itu. Dulu Kak Sarah selalu tegur, betulkan vokal saya. Tak putus bagi semangat.

Berdirinya saya dalam industri seni ini adalah untuk Kak Sarah, salah satunya, Saya cuma hendak buat yang terbaik. Kita takkan dapat puaskan hati semua orang. Tak apalah, positif atau negatif saya terima sahaja.

Ada yang sedia maklum bagaimana arwah memberi impak dalam hidup Iman terutama memberi semangat untuk meneruskan impian seni. Mungkin Iman ada kata-kata kepada mereka yang tidak suka dengan Iman?

Sebenarnya saya tak mahu ambil kisah dengan apa sahaja komen negatif daripada mereka. Saya anggap itu sebagai teguran. Mungkin ada juga salah dari pihak saya, yang tidak terlihat.

Saya bersyukur, masih ada yang sanggup ambil masa tulis komen dengan niat menegur. Saya tak boleh paksa mereka suka tetapi saya boleh memperbaiki mana yang kurang dan berusaha lebih baik.

Selepas lagu Kesetiaan (nyanyian semula), ada yang cakap Iman akan lancarkan lagu power ballad pula lepas ini? Lagu-lagu galau bak kata BBNU sekarang.

Mana tahu ini? Pandai korek rahsia. Ya, betul saya tengah fokus untuk melancarkan lagu ballad.

Peminat kenal saya dengan lagu-lagu catchy,pop. Bila saya lancarkan single duet bersama penyanyi Indonesia, Mahen ramai yang beri reaksi positif.

Jadi saya fikir, ini masanya untuk saya tampil dengan lagu power ballad. Sisi berbeza Iman Troye. Tak sabar tetapi dalam masa sama, gementar juga. Harap peminat suka nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya