AMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak lagi berkompromi dengan sesiapa pun yang memperguna agama demi tujuan tertentu atau ‘penunggang agama’, selepas 12 Ogos ini.
Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama kedua-dua Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Malah, beliau berkata, langkah itu juga sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
“Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong apa, parti mana pun tetapi dia tunggang agama, permainkan hukum… memfitnah orang dan fitnah yang besar.
“Ini orang-orang luar tabii nak hukum…nak kafirkan orang yang tak sokong dia (katakan) masuk neraka…musuh Allah.
“Saya nak bagitahu malam ini, selepas ini, Perdana Menteri ini jika kamu sokong (menangkan pilihan raya negeri) tidak akan bertoleransi dengan perkara mengarut ini,” katanya di Ceramah Grand Finale Arus Merah Kuning yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Keramat di sini malam ini.
Kata Anwar, negara ini mesti selamat dan menyantuni semua rakyat.
“Ya Islam agama Persekutuan, ya kita tingkatkan kefahaman Islam, kita tingkatkan penguasaan dan matapkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu.
“Kita jamin hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kita mulia dan pertahankan kedualatan raja-raja Melayu, tetapi jangan kita hina anak-anak Malaysia dari mana-mana kaum.
“Setiap rakyat baik Dayak, Cina, India ..semua itu keluarga kita dan kita kena pertahankan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak teragak-agak untuk memecat mana-mana menteri di bawah pentadbirannya sekiranya terlibat dalam kes rasuah.
“Kalau ada kes tak payah runding dan kita akan pecat serta merta.
“Ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN). Ada kes mahkamah jadi calon Perdana Menteri dan pemimpin hina raja masih disanjung,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan bahawa tiada seorang menteri di bawah pentadbirannya terlibat dengan rasuah selama lapan bulan ini.
Beliau berkata, perkara itu disahkan selepas membuat pemeriksaan dengan pihak berkuasa.
Antaranya menerusi Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Bank Negara.
“Lapan bulan dalam kerajaan , tiada seorang menteri disabitkan dalam kesalahan rasuah. Saya serius kerana (saya periksa dengan pihak berkuasa semua).
“Ahmad Zahid dan Fadillah tahu. Wakil Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pun tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menghargai sambutan luar biasa penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada kempen PRN malam ini.
“(Sebab itu) Kita hantar puteri muda (Juwairiya Zulkifli) untuk mengalahkan sang muda si pengkhianat…si kitol,” katanya. – UTUSAN