Tiada jangkitan kes batuk kokol di Terengganu  - Utusan Malaysia

Tiada jangkitan kes batuk kokol di Terengganu 

KASEMANI EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiada sebarang jangkitan kes wabak pertussis atau batuk kokol dilaporkan berlaku di Terengganu, setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, walaupun tiada kes jangkitan direkodkan, pihaknya akan tetap memantau situasi semasa.

Menurutnya, aktiviti pencegahan akan ditingkatkan di seluruh di seluruh negeri Terengganu untuk mengelakkan risiko berlakunya penularan wabak tersebut.

“Penyakit ini boleh dicegah dengan pengambilan vaksin dan kita akan tingkatkan tahap kesedaran orang awam dalam pendidikan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, media melaporkan Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan satu kes jangkitan Pertussis atau batuk kokol dikesan di Kampung Bahagia, Rompin, Kuantan, Pahang.

Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus memberitahu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin melaporkan kes berkenaan baru-baru ini, yang melibatkan satu keluarga iaitu seorang ibu serta dua anaknya, dan keadaan adalah terkawal.

Pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.

Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan, dan kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.

Dalam pada itu, Dr. Kasemani berkata kes jangkitan Influenza di Terengganu juga masih dalam keadaan yang terkawal ketika ini.

Menurutnya, semua fasiliti kesihatan awam di Terengganu menyediakan pusat saringan demam bagi menangani kes yang mempunyai gejala influenza.

“Insya-Allah masih dalam situasi terkawal dan kemudahan kesihatan yang ada boleh menampung penyakit di Terengganu setakat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN