ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa perintah injunksi interim yang diperolehi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan berkaitan Perdana Menteri dilakukan secara ‘sembunyi-sembunyi’.
Menteri Besar Kedah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, pasukan peguamnya memberitahu perintah tersebut yang diberikan terhadap beliau diperolehi secara ex parte atau sebelah pihak.
“Permohonan dibuat oleh PMX (Perdana Menteri ke-10) secara sebelah pihak dan sembunyi-sembunyi, tanpa menyerahkan permohonan tersebut kepada defendan.
“Mereka berhujah sebelah pihak, tanpa defendan dipanggil berhujah dan telah dibenarkan oleh mahkamah.
“Itu maksud ex parte yang diperuntukkan di bawah Aturan 29 Kaedah 1(2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk keadaan-keadaan tertentu sahaja,” katanya menerusi Facebook beliau semalam.
Kelmarin, peguam, Datuk Sankara Nair berkata, Anwar berjaya mendapatkan perintah injunksi sementara (interim) terhadap Muhammad Sanusi bagi menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Perdana Menteri itu.
Perintah ex parte (sebelah pihak) tersebut diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, kelmarin.
Perintah itu antara lain menghalang Muhammad Sanusi atau kakitangannya atau ejennya untuk mengeluarkan, menerbitkan dan mengulangi sebarang kenyataan berbaur fitnah dalam apa jua bentuk medium sebagaimana yang dinyatakan dalam saman Anwar terhadapnya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, permohonan tersebut dibuat pada 26 Julai sebelum perintah injunksi diberikan empat hari selepas itu iaitu pada Ahad lalu.
“Tak ada hujan, tak ada ribut. Tiba-tiba pokok bergoyang dan dedaun pun luruh,” katanya. – UTUSAN