Terkilan tak dapat sambut hari jadi anak dengan arwah suami

Terkilan tak dapat sambut hari jadi anak dengan arwah suami

SURIANA Muda dan dua anaknya menatap jenazah Sharipuddin Shaari di Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Balu kepada Allahyarham Sharipuddin Shaari, Suriana Muda, 43, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat untuk menyambut hari lahir yang kesembilan anak bongsunya, Nur Izzara Arissya bersama arwah suami pada 27 Ogos ini.

Jelas Suriana, mereka sekeluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk menyambut hari lahir anak bongsu daripada dua beradik itu setiap tahun, malah arwah suaminya juga sudah membelikan hadiah baru-baru ini untuk diberikan sebagai kejutan.

“Arwah juga sudah belikan hadiah untuk diberikan kepada anak bongsu kesayangannya itu tapi apakan daya tidak kesampaian hasrat untuk meraikan bersama-sama.

“Hadiah apa yang dibelikan arwah suami untuk anak kami itu biar lah kami sahaja yang tahu, tapi saya rancang untuk berikan kepada Izzara apabila emosinya lebih stabil selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian Allahyarham Sharipuddin di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang hari ini.

Jenazah Allahyarham yang juga pemandu e-hailing itu selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan dihadiri lebih 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.

Terdahulu, solat jenazah Allahyarham Sharipuddin diimamkan oleh imam rawatib Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Ustaz Saudi Jusoh yang kemudiannya turut mengetuai bacaan talkin.

Bercerita lanjut, Suriana yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu berkata, arwah suaminya tidak pernah menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan pergi buat selamanya.

“Tak ada pula yang nampak lain cuma suami nampak lebih manja sejak akhir-akhir ini dan seperti enggan berenggang dengan saya.

“Dan kali terakhir kami berhubung (pada Khamis) adalah melalui panggilan telefon dia beritahu sedang berhenti sebentar untuk minum,” ujarnya.

Suriana berkata, buat masa ini dia mahu bertenang dahulu kerana masih bersedih selepas pemergian suami tersayang sebelum memikirkan perancangan seterusnya untuk membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.

Tambahnya, dia juga tidak merancang untuk pulang ke kampung halaman dan mahu terus menetap di sini memandangkan kakaknya turut tinggal di kawasan berhampiran.

Pada Khamis, 10 lelaki disahkan maut selepas sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie, Shah Alam yang turut mengorbankan Sharipuddin apabila kereta dipandunya terbabit dalam nahas sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya