‘Terima kasih kerana ‘nampak’ bakat dan kesungguhan saya' - Utusan Malaysia

‘Terima kasih kerana ‘nampak’ bakat dan kesungguhan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah jadi pelakon zaman sekarang. Tidak semua, tapi sebilangan besar produser, kalau bukan rupa, pasti populariti yang mereka pandang.

Sampaikan ada produser yang mencadangkan kepada pelakon agar ‘membeli’ followers di media sosial untuk popular.

Tetapi saya tertarik dengan prinsip pelakon cantik berbakat besar, Rita Nadira.

Dia melawan arus. Dalam ramai pelakon berlumba-lumba menambah pengikut media sosial, Rita percaya sebaliknya.

Meyakini bakat dan rezeki, bukan sekadar populariti. Rita sebenarnya lama membuktikan perkara itu. Lebih 13 drama dan lima telefilem dilakonkannya.

Boleh kata, wajah Rita sinonim drama televisyen (TV) tempatan kerana keberkesanan lakonannya.

Tetapi masih ramai yang tak kenal siapa dia. Rita bersyukur kerana produser masih menawarkan dia berlakon meskipun jumlah pengikut Instagramnya belum melebihi 500,000, sekadar 130,000 (sehingga hari ini).

“Saya sampai hari ini, macam bermimpi bila ada produser yang menawarkan saya kerja. Saya berterima kasih, ada dalam kalangan mereka yang beri peluang dan kerap tawarkan saya berlakon walaupun saya tak popular.

“Saya percaya pada hasil kerja terbaik. Produser masih ‘nampak’ saya walaupun lakonan saya tidak sebaik pelakon berpengalaman. Mungkin mereka nampak usaha saya.

“Saya hanya mampu beri lakonan yang terbaik. Yang menilai adalah pengarah, produser dan penonton,” katanya.

Dalam masa sama, Rita mendedahkan pernah didesak pihak tertentu agar dia menambah jumlah pengikut media sosialnya untuk menjual drama lakonannya.

“Saya kata buat apa bazir wang? Saya percaya pada bakat dan kesungguhan yang membawa populariti. Tengok Beto Kusyairy. Bakat dimilikinya membuatkan followers media sosialnya hari ini bertambah hampir 800,000.

“Saya yakin, drama, skrip dan lakonan yang bagus akan menarik penonton menonton naskhah yang dihasilkan. Sekarang masih ramai yang menonton TV meskipun lebih ramai yang menonton menerusi telefon pintar,” kongsinya.

KESERASIAN ZAMARUL HISHAM

KEBERKESANAN gandingan Rita dan pelakon, Zamarul Hisham menerusi telefilem Saat Hilang Cintamu menarik minat produser untuk menyatukan mereka dalam naskhah seterusnya.

Rita dipertemukan semula dengan pelakon tersebut menerusi drama Aku Yang Kau Sakiti yang kini ditayangkan di slot Samarinda, TV3.

Rita menyambut baik seandainya penonton menyukai keserasian dia dan Zamarul dalam drama.

Katanya, jika ada permintaan untuk mereka berulang kali bekerjasama, dia tidak menolak.

“Kalau ikutkan, kami sudah terlibat dalam tiga drama yang sama, termasuklah yang akan ditayangkan nanti. Meskipun berlainan watak, saya akui kami serasi bekerjasama.

“Terus terang, waktu mulamula digandingkan dahulu, kami tak rapat di set. Kami profesional dan banyak berbincang ketika di set penggambaran. Selepas digandingkan semula dalam drama Aku Yang Kau Sakiti, kami mula rapat dan sudah boleh berborak antara satu dengan lain.

“Saya senang bekerja dengan Zamarul kerana profesionalisme dan keseriusan dia dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

“Kalau gandingan saya dengan dia disukai penonton, saya tak ada masalah untuk terus bekerja satu naskhah dengannya,” katanya.

SANGGUP BERHABIS DEMI ILMU

KEBERKESANAN lakonan dalam setiap watak dibawakan Rita wajar diberi pujian.

Ramai yang mengakui perkara itu, lebih-lebih lagi selepas pelakon ini berjaya mencuri tumpuan dalam kebanyakan naskhah lakonannya termasuk teleFIlem Saat Hilang Cintamu yang ditayangkan awal tahun ini.

Kata Rita, kebolehan yang dimilikinya adalah hasil usaha mengumpul ilmu dengan menghadiri kelas-kelas lakonan kelolaan pelakon-pelakon berpengalaman.

“Ilmu lakonan saya masih cetek. Sebab itu, hadir kelas antaranya yang dikelolakan pelakon hebat Ogy Ahmad Daud sebagai persediaan melakonkan watak antagonis bagi drama Tak Sempurna Mencintaimu yang ditayangkan pada 2021.

“Banyak ilmu yang seorang pelakon itu dapat apabila belajar dengan pelakon yang lebih berpengalaman. Tentunya, saya akan terus mengikuti kelas untuk memperbaiki kebolehan yang saya miliki,” katanya.

Kata Rita lagi, dia tidak kisah berhabis wang semata-mata untuk menimba ilmu.

Katanya, itu antara cara yang boleh dilakukannya dalam usaha menjadi pelakon yang memberi impak kepada masyarakat menerusi naskhah yang dipersembahkan.

“Dan saya tak kisah belajar dengan siapa sekalipun. Kalau boleh saya mahu belajar dengan lebih ramai pelakon berpengalaman sebab saya hendak tahu kaedah mereka dalam menghidupkan watak.

“Pelakon kena sentiasa hadir kelas sebab lepas berlakon dua atau tiga drama, kami akan hilang rentak, membuatkan lakonan nampak sama tanpa kelainan.

“Biarlah saya berhabis wang, asalkan saya dapat belajar dengan pelakon hebat. Pelakon lama pun hadir kelas dan pergi casting, kenapa tidak pelakon baharu seperti saya?” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya