Terapung di sebalik awan biru kibar Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Terapung di sebalik awan biru kibar Jalur Gemilang

MUHAMMAD Amirul Baharti,32, bersama komuniti Perlis Climber dalam keadaan terapung memasang Jalur Gemilang disebalik awan biru diantara laluan dua bukit di Bukit Keteri, Chuping, Perlis semalam.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Dalam usaha menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan, sekumpulan anak muda dari komuniti Perlis Climber mengambil inisiatif memanjat dinding batu setinggi 140 meter bagi mengibar Jalur Gemilang di Bukit Keteri di sini.

Aktiviti mengibar Jalur Gemilang di Bukit Keteri itu adalah hasil inisiatif Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) yang diwujudkan hasil gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan pemain industri pelancongan negeri ini bagi menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan selain mempromosi Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Komuniti Perlis Climber seramai tujuh orang diketuai Zainol Din,47, dan Muhammad Amirul Baharti,32, itu mengambil masa kira-kira tiga jam memanjat dinding batu di Bukit Keteri berkenaan yang merupakan antara laluan mendaki paling sukar di Asia itu bagi mengibarkan Jalur Gemilang.

Malah, turut kelihatan ahli persatuan berkenaan dalam keadaan terapung di sebalik awan biru diantara laluan dua bukit untuk pemasangan Jalur Gemilang itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Amirul berkata, pada peringkat awal, mereka mengambil masa untuk pemasangan penambat di laluan Bukit Keteri di sini.

Katanya, pemasangan tersebut telah mengambil kira pelbagai aspek keselamatan sebelum merealisasikan misi mengibar Jalur Gemilang di antara laluan dua bukit tersebut yang disifatkan cukup mencabar.

“Kita memasang penambat diantara dua bukit untuk pemasangan Jalur Gemilang berkenaan. Alhamdulilah, usaha tersebut berjaya direalisasikan dengan kibaran Jalur Gemilang penuh bersejarah di lokasi berkenaan.

“Persediaan dilakukan sejak semalam melibatkan laluan dan pemasangan penambat. Alhamdulilah semua berjalan lancar dan misi tersebut berjaya direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Trooper, Wan Razif Wan Mahadzim berkata, aktiviti tersebut yang melibatkan sinergi komuniti pelancongan negeri di bawah gabungan berkenaan itu adalah bagi menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan.

Komuniti Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) memegang plakad Tahun Melawat Perlis 2024/2025 selepas aktiviti kibar Jalur Gemilang di Bukit Keteri, Chuping, Perlis semalam.-UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Katanya, lokasi berkenaan dipilih untuk aktiviti kibar Jalur Gemilang tersebut adalah kerana Bukit Keteri cukup sinifikan sebagai antara kawasan yang cukup terkenal di seluruh dunia untuk aktiviti memanjat dinding batu selain mempunyai keindahan sekitar yang memukau.

Selain itu, katanya, aktiviti tersebut juga sebagai salah satu usaha Trooper membantu kerajaan negeri dan pihak terlibat dalam mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

“Insya-Allah, kita akan teruskan lagi dengan pelbagai aktiviti dan program selepas ini untuk merancakkan aktiviti pelancongan, kebudayaan, kesenian, sukan dan rekreasi di negeri ini. Sebagai anak tempatan, kita mahu bersama-sama membantu menaikkan nama Perlis khususnya dalam aspek pelancongan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya