Terang lagi bersuluh, pengundi Melayu tolak UMNO kerana DAP - Penganalisis

Terang lagi bersuluh, pengundi Melayu tolak UMNO kerana DAP – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam jelas menunjukkan pengundi Melayu menolak UMNO sekali lagi, dipercayai ekoran tindakan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dalam pembentukan kerajaan semasa.

Penganalisa politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, mesej yang sangat jelas dinyatakan bukan sahaja ahli-ahli UMNO yang mengundi Perikatan Nasional (PN), malah oleh majoriti pengundi Melayu yang kecewa dengan tindakan UMNO untuk bersekongkol dengan PH.

“Penyokong dan ahli akar umbi UMNO majoritinya menolak kerjasama politik dengan DAP dalam PH. Kita tidak boleh nafi hal ini.

“Malah apabila orang Melayu beralih undi kepada PN, ini juga memperlihatkan bahawa mereka tidak selesa untuk terus memilih UMNO yang berada dalam kerjasama politik melibatkan DAP,” katanya di sini hari ini.

Daripada 108 kerusi dipertandingkan, calon BN-UMNO hanya menang 19 kerusi dalam persaingan PRN semalam.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya itu turut berpandangan, kekecewaan pengundi Melayu bertambah parah apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kekal menerajui UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjalinkan kerjasama untuk membentuk kerajaan bersama PH dan DAP sehingga menyebabkan UMNO ditolak sekali lagi pada enam PRN semalam.

Justeru, katanya, tidak mustahil untuk UMNO terus ditolak oleh rakyat negara ini pada PRU akan datang sekiranya mereka terus kekal dalam kerajaan semasa.

“Saya berpandangan UMNO perlu lakukan sesuatu dengan drastik untuk mengembalikan kepercayan dan keyakinan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga ahlinya yang kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti tersebut.

“Kepimpinan tertinggi UMNO perlu bertanggungjawab dengan kekalahan besar yang dihadapi oleh UMNO selepas mengalami keadaan sama lapan bulan lalu.

“Kepimpinan UMNO perlu mencontohi pemimpin lalu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berundur dari jawatan Presiden selepas UMNO-BN kecundang dan mengalami kekalahan yang luar biasa dalam PRU12 dan PRU14 lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya