Teknologi AI tidak akan ambil alih peranan manusia - Utusan Malaysia

Teknologi AI tidak akan ambil alih peranan manusia

CHANG Lih Kang (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Chow Kon Yeow sempena STEM Showcase '23 Minggu Sains Negara Peringkat Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Persendirian Han Chiang, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Masyarakat di negara ini tidak perlu bimbang dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana ia tidak akan mengambil alih peranan manusia dalam sektor pekerjaan di negara ini.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, ini kerana pada masa akan datang bidang pekerjaan memerlukan kepakaran yang baharu melibatkan teknologi-teknologi terkini.

”Kita tidak melihat teknologi seperti AI akan mengambil alih atau menggantikan manusia dari segi pekerjaan, tetapi pekerjaan yang akan datang atau di masa depan perlukan ‘skill set’ yang baharu.

”Maka, kita perlu ada kapasiti latihan yang baharu kerana terdapat keperluan untuk kita mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi seperti pengendalian sistem AI dan lain-lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri STEM Showcase ’23 sempena Minggu Sains Negara Peringkat Pulau Pinang yang dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Menurut Lih Kang, tumpuan kini diberikan kepada silibus pelajaran yang baharu merangkumi teknologi AI, pengekodan dan robotik.

Jelasnya, tumpuan diberikan untuk memupuk minat dalam STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam kalangan pelajar bagi melahirkan generasi akan datang sebagai pekerja berkemahiran tinggi.

“Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan; Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia untuk menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi mempromosikan lagi pendidikan STEM,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya mensasarkan seramai 1.7 juta pengunjung terutama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi menghadiri dan menyertai Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini di seluruh negara.

”Kita optimis sasaran ini mampu dicapai kerana setiap aktiviti yang diadakan menggunakan kaedah praktikal yang melibatkan pengamal serta pakar sains dan teknologi.

“Tahun ini merupakan tahun keenam karnival ini dilaksanakan, jadi kita percaya ia akan mencapai lebih lagi dan kita memberi fokus kepada tujuh bidang utama antaranya Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Karnival MSN 2023 itu juga selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030.

“Ia juga diteruskan secara dalam talian dengan kerjasama di antara jabatan serta agensi di bawah kementerian, institut pengajian tinggi, syarikat swasta dan persatuan melibatkan program seperti webinar dan forum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya