Tekad Ahmad Razif mahu bangunkan Seberang Takir

Tekad Ahmad Razif mahu bangunkan Seberang Takir

AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SEBERANG Takir merupakan antara kawasan perkampungan nelayan yang semakin popular sebagai kawasan pelancongan baharu di Terengganu.
Sehubungan itu, penyandang DUN Seberang Takir, DATUK SERI AHMAD RAZIF ABDUL RAHMAN yang mesra dengan panggilan Cikgu Razif merancang beberapa program pembangunan untuk merancakkan lagi sektor ekonomi, selain mewujudkan perkampungan nelayan moden.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF berkongsi harapan untuk membangunkan lagi kawasan DUN Seberang Takir bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.

Apakah misi yang dibawa selepas parti mengekalkan Datuk Seri bertanding di Seberang Takir?

Saya berhasrat mahu menjana ekonomi setempat dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di DUN Seberang Takir, kita memerlukan penduduk yang ramai sekali gus mewujudkan permintaan tinggi.
Menggunakan formula itu, saya memulakan bantuan insentif RM100 bagi setiap kelahiran bayi di Seberang Takir ketika saya bergelar Menteri Besar sebelum ini. Usaha ini akan memanfaatkan Kampung Seberang Takir yang kini menjadi tumpuan pelancong.
Sehubungan itu menjadi hasrat saya dengan memastikan penduduk di Seberang Takir turut sama merasai limpahan peluang ekonomi dan tidak hanya menjadi pemerhati dalam arus pembangunan di Seberang Takir.

Selain itu, apakah perancangan yang mahu dilaksanakan sekiranya Datuk Seri mempertahan kerusi DUN Seberang Takir?
BN sentiasa menjaga kepentingan golongan peniaga dengan memberikan lesen perniagaan secara percuma dan kita akan menambah baik pelaksanaan bantuan itu. Dengan kewujudan peniaga-peniaga ibarat cen­dawan tumbuh selepas hujan, kita mahu memudahkan golongan ini mencari sumber pendapatan dan menyediakan lebih banyak ruang perniagaan.

Selari dengan julukan Seberang Takir sebagai destinasi pelancongan, kita berhasrat meneruskan rancangan mewujudkan Terengganu Kitchen atau T-Kitchenyang berkonsepkan makanan tradisional negeri ini.
Ini akan membantu usahawan kecil dan sederhana terutama golongan ibu tunggal di Seberang Takir memasarkan produk tempatan sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan kepada golongan berkenaan.

Bagaimana dengan kemudahan lain untuk merancakkan pelancongan di Seberang Takir?

Projek Gerbang Pelancongan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) telah dihentikan sejak perubahan kerajaan negeri dan jika dilihat hari ini, saya sedih melihat suasana suram di kawasan itu.
Jadi BN akan meneruskan usaha menjadikan Seberang Takir sebagai hab pelancongan utama dengan menawarkan peluang ekonomi kepada semua golongan antaranya peniaga, pemilik rumah inap desa, pemandu kereta sewa serta pemain industri berkaitan.

Difahamkan Datuk Seri juga ada perancangan khas untuk membela nasib golongan nelayan?

Ya, sudah tentu kerana Seberang Takir juga terkenal dengan golongan nelayan dan sebab itu, BN bertekad meneruskan semula projek akuapolitan Kuala Nerus di Kampung Seberang Pak Abu bagi mewujudkan perkampungan nelayan moden di situ. Projek itu telah dihentikan meskipun peruntukan RM180 juta telah diluluskan dan diserahkan oleh kerajaan Pusat untuk pelaksanaannya yang berkonsepkan Felda Laut.
Hasrat kami adalah untuk memperkasa ekosistem perikanan yang mapan dengan pembinaan jeti pendaratan nelayan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar serta restoran.

Bagaimana Datuk Seri melihat sokongan pengundi dalam tempoh berkempen?
Saya optimis dengan keyakinan diberikan masyarakat yang boleh menilai sendiri khidmat bakti saya selama 15 tahun di DUN Seberang Takir dan saya juga tidak asing kerana anak jati kampung ini. Bahkan, usaha mendekati pengundi bukan baru bermula minggu ini sebaliknya sudah lima tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya