TAHUN 2023 boleh dikatakan sebagai tahun tuah atau tahun pecah rekod bagi penyanyi antarabangsa Taylor Swift.
Bukan sahaja menjadi artis wanita pertama yang mempunyai empat album mengungguli carta top 10 Billboard, malah turut menjadi artis paling banyak didengari menerusi platform penstriman tahun ini.
Sejak artis itu memulakan konsert siri jelajahnya The Eras Tour, Taylor menjadi artis wanita paling ramai pengunjung di Amerika Syarikat sekali gus menjadi konsert pertama yang mampu menjana AS$1 bilion di negara itu.
Sebelum ini, seorang profesor sastera Sir Jonathan Bate pernah menyifatkan bahawa penyanyi kelahiran Pennsylvania itu sebagai ‘gergasi sastera’ berdasarkan analisisnya menerusi lagu The Lakes menerusi album folklore (2020) versi deluxe.
Kini, Universiti Arizona memperkenalkan satu subjek kuliah di universiti itu iaitu Psychology of Taylor Swift – Advanced Topics of Social Psychology.
Subjek tersebut akan membincangkan bagaimana Taylor Swift sebagai objek penelitian psikologi.
“Subjek ini akan mengkaji Taylor Swift daripada gosip, perhubungan dan siri balas dendam.
“Ini bukanlah kelas untuk membuatkan pelajar meminati atau membencinya. Kami sekadar mahu mengkaji psikologinya,” kata pensyarah Alexandra Wormley.
Wormley bakal memperkenalkan perincian pembelajaran yang akan melihat lebih dalam album Taylor Swift dari pandangan psikologi.
Antara album yang akan dibedah di dalam kelas adalah album keenamnya iaitu Reputation yang disifatkan sebagai album kemunculan kembali artis itu setelah menghadapi kontroversi yang panjang.
“Album keenam Taylor, Reputation, dilihat sebagai album penting yang menghidupkan kembali Taylor selepas lama menghilang dari sorotan publik akibat kontroversi bersama Kim Kardashian dan Kanye West.
“Ketika itu, Taylor dilihat membalas dendam dengan menghasilkan album yang sangat berjaya itu bersama-sama konsert jelajahnya.
“Adakah anda tahu kenapa orang suka membalas dendam? Apakah psikologi sosial yang membuatkan seseorang bertindak begini? Semuanya akan kita pelajari nanti,” tambahnya.
BUKAN KALI PERTAMA
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Taylor Swift dibahaskan di universiti. Pada Februari tahun lalu Clive Davis Institute of Recorded Music, di bawah kendalian Universiti New York mengadakan kelas pertamanya tentang Taylor Swift.
Menariknya, ia diajar oleh penulis Rolling Stone sendiri iaitu Brittany Spanos. Begitu juga Universiti Texas yang menyediakan sebuah kelas seni membedah lirik lagu Taylor Swift.
Kelas yang diberi nama Literary Contests and Contexts – The Taylor Swift Songbook itu membandingkan lirik tulisan Taylor dengan penyair legenda seperti Geoffrey Chaucer, Shakespeare dan Sylvia Plath.
Terkini, Stanford Universiti membuka kelas semasa musim sejuk yang dinamakan All Too Well (versi 10 minggu).
Dalam tempoh itu, mereka melakukan analisis mendalam terhadap lirik serta emosi Taylor Swift semasa menerbitkan lagu itu.
Sebelum ini, Taylor Swift dianugerahkan gelaran doktor dengan ijazah kehormat kedoktoran seni dari Universiti New York (NYU).
Penyanyi, komposer, penerbit dan pengarah itu memulakan kerjaya muziknya pada usia 15 tahun.