SHAH ALAM: Tawaran Perikatan Nasional (PN) bagi negeri ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyentuh hal ehwal peniaga kecil serta pekerja penghantar barangan dan makanan (p-hailing) disambut baik pengundi daripada kumpulan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pemain dalam kedua-dua industri itu amat mengalu-alukan tawaran yang bernilai lebih RM2 bilion tersebut, yang mereka dapati boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Seorang peniaga kuih, Fadhilah Mohd. Radzi, 35, berkata, tawaran Dana Food Truck Selangor (FTS) yang bernilai RM50 juta itu amat membantu para peniaga yang ingin menjalankan perniagaan di kawasan terbuka.
Malah apa yang menarik, pinjaman bagi membeli kendera saji tanpa caj faedah dilihat akan mengurangkan kos para peniaga untuk menjalankan perniagaan.
“Harga sebuah kendera saji lebih puluhan ribu ringgit dan kalau sesebuah pinjaman itu ada kadar faedah walau satu peratus pun, peniaga perlu keluar lebih banyak wang untuk bayar pinjaman tersebut.
“Tetapi bila PN tawar inisiatif sedemikian, saya rasa ramai peniaga akan rebut peluang ini kerana mereka boleh menjalankan perniagaan di mana sahaja, asalkan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui.
Bagi peniaga minuman, Raja Muhamad Nazirul Muiz Raja Anis, 32, pengecualian sepenuhnya pembayaran sewa tapak perniagaan selama lima tahun yang ditawarkan PN dapat mengurangkan kos perniagaannya setiap hari.
Menurutnya, beliau membayar sewa tapak perniagaan sebanyak RM100 sebulan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), yang disifatkan sebagai kadar berpatutan.
“Kalau tawaran ini dapat direalisasikan, saya dapat mengurangkan kos perniagaan lebih RM1,000 setahun dan saya anggap ia satu jumlah yang banyak.
“Ini kerana kos bagi membeli bahan membuat air pun meningkat, dalam anggaran tiga hingga lima peratus sejak setahun lalu. Justeru, kalau dikecualikan banyak tapak sewa perniagaan untuk tempoh berkenaan, ia amat membantu saya,” luahnya.
Bagi seorang penghantar makanan, Mohamad Danial Sahbudin,24, pemberian RM700 setahun di bawah Skim Selangor Riders sememangnya membantu kumpulan itu menampung kos penyelenggaraan motosikal yang digunakan untuk menghantar barang dan makanan setiap hari.
“Saya tukar minyak hitam motosikal sekali dalam tempoh dua minggu dan minyak hitam yang biasa digunakan dalam sekitar RM30 hingga RM40 sebotol.
“Kalau dapat RM700 setahun, saya hanya perlu keluarkan RM20 sahaja setahun untuk perihal tukar minyak hitam dan bagi saya, ia sudah memadai,” ujarnya. – UTUSAN