Tawaran BN-PH Kelantan dapat restu Anwar

Tawaran BN-PH Kelantan dapat restu Anwar

AHMAD Jazlan Yaakob (dua kiri) semasa hadir ke Majlis Jelajah Perpaduan Madani di Pusat Operasi BN Tanah Merah, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan mendedahkan tawaran yang dikemukakan oleh pihaknya bersama rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini mendapat restu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, tawaran itu akan terus dilaksanakan sebaik sahaja rakyat negeri ini memberi mandat kepada gabungan BN-PH untuk mentadbir.

“Ada orang tanya tawaran ini boleh buat atau tidak, saya beri jaminan tawaran itu akan dilaksanakan kerana mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri dan Timbalannya.

“Jika perubahan itu berlaku, maka bermula hidup baharu buat rakyat Kelantan. Jadi rakyat kena berani buat perubahan,” katanya semasa berucap pada majlis Jejalah Perpaduan Madani Kelantan di Markas Operasi BN Tanah Merah di sini sebentar tadi.

Ahmad Jazlan memberitahu, PRN 12 Ogos ini bukan memilih agama, sebaliknya mencari kerajaan baharu untuk Kelantan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, BN-PH berjanji akan menghapuskan tunggakan bil AKSB dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik bagi kediaman sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Kelantan pada PRN.

Tawaran tersebut merupakan salah satu daripada 34 inisiatif BN-PH dalam membantu rakyat dalam aspek ekonomi menerusi empat teras Tawaran Kepada Rakyat Kelantan-Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran. – UTUSAN

 

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN