PETALING JAYA: Pelakon, Emma Maembong tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk anak ketiga biarpun baru sahaja melahirkan cahaya mata kedua Mei lalu.
Kongsi Emma, dia sebenarnya mengimpikan untuk memiliki cahaya mata yang ramai sementelah dia juga dibesarkan dalam sebuah keluarga besar dengan 11 adik-beradik.
“Dari dulu orang sudah tahu saya memang inginkan anak, sekarang saya sudah ada keluarga sendiri. Selepas dikurniakan dua anak, mana tahu mungkin akan bertambah lagi?
“Saya tidaklah meletakkan sasaran atau jumlah anak. Cuma lagi ramai, lagi bagus. Saya mahu anak ramai sebab sudah terbiasa membesar dengan 11 orang adik beradik.
“Saya ada tujuh orang adik-beradik perempuan dan empat lelaki. Semua pun tahu kami memang rapat. Seronok bila ada adik-beradik untuk bergosip. Kalau susah, adik-beradik juga yang akan tolong kita,” katanya.
Emme berkata demikian usai sidang media drama bersiri One Million Dollar Voice yang turut menampilkan pelakon lain antaranya Lah Ahmad, Amelia Handerson dan Neeta Manis.
Dalam pada itu, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail juga mendedahkan, dia berasa sunyi ketika awal perkahwinan kerana tinggal berdua dengan suaminya.
“Masa mula-mula berkahwin, saya menangis sebab rasa sunyi sangat. Mungkin ada orang yang rasa serabut kalau suasana bising, tapi saya berbeza. Saya tidak suka sunyi.
“Kelakarnya, saya suka suasana serabut terutama suara budak-budak. Mungkin dari kecil saya sudah terbiasa dengan suasana riuh rendah, ramai orang,” ujarnya.
Emma mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Shariq yang kini berusia dua tahun dan Shakil Aryan Shah, tiga bulan.