SEBENARNYA mudah untuk popular di media sosial. Canang keburukan atau istilah anak muda, spill the tea tentang seseorang. Pasti memancing ratusan ribu tontonan, lebih-lebih lagi jika orang yang diumpat adalah para selebriti.
Selepas dikecam teruk gara-gara tindakan suaminya, Nabil Mahir yang tersalah cakap semasa mengumumkan anak kedua di sebuah pelancaran drama, Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat sekali lagi menjadi bahan kutukan.
Bagi Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 31, warganet hari ini terlalu sensitif. Jika para selebriti tersalah cakap sedikit bersedialah menjadi mangsa makian di laman sosial.
“Saya sudah biasa dengan kritikan sejak dulu lagi. Jadi saya tahu mengawal emosi saya.
“Kalau situasi yang sama dihadapi oleh artis baru dan belum berpengalaman, mereka mungkin tertekan, emosi dan akan terganggu. Salah jawab, anda kena.
“Pesan saya kepada mereka, buat sahaja kerja anda sebab orang akan tetap bercakap tak kisahlah kita buat baik atau jahat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kongsi penyanyi Pencuri Hati itu lagi, pernah dia disindir peminat yang meminta izin bergambar dengannya sedangkan waktu itu dia sedang lapar dan kepenatan.
“Kakak itu muat naik status di laman sosial menyindir saya dengan menulis ‘tangkap gambar pun tidak ikhlas’ sedangkan waktu itu saya sangat lapar dan penat.
“Jadi, saya cari semula kakak itu yang kebetulan masih di dalam pusat beli belah yang sama. Saya minta maaf kepadanya dan jelaskan keadaan saya pada waktu itu.
“Walaupun saya rasa bersalah, namun sebenarnya saya nak beritahu bahawa saya juga manusia biasa. Kenyataan kakak itu mungkin boleh menjadi tular di media sosial,” katanya lagi.
Pemenang Lagu Terbaik Anugerah Planet Muzik ke-17 itu tidak menafikan kadangkala perasaannya terguris dan ingin sahaja membalas komen dan fitnah warganet.
Namun dia faham, bergaduh dengan warganet tidak akan memberi apa-apa kebaikan.
Pengalaman mengandung anak kedua
Bercakap mengenai usia kandungannya yang sudah mencecah lima bulan, Ayda ketawa menceritakan suaminya yang juga pengacara Nabil Mahir pula yang selalu mengidam.
Sementara anaknya, Ana Nayla tiba-tiba menjadi lebih manja daripada kebiasaan. Mungkin sudah tahu petanda bakal mendapat adik baru.
“Mengandung kali ini suami saya yang banyak mengidam seperti nak makan rendang daging.
“Sebelum ini kalau mengandung, saya langsung tak boleh bekerja. Semua mesej suami yang akan balas. Syukurlah kali ini berbeza.
“Terima kasih juga kepada suami yang banyak membantu saya jaga anak. Pendek kata 70 peratus urusan anak, Nabil yang akan buat seperti tukar lampin, bangun malam, buatkan susu dan mandikan anak,” jelasnya
Dalam perkembangan lain, Ayda masih mengekalkan statusnya sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan Aura White untuk sembilan tahun berturut-turut.
Kali ini Ayda bakal mempromosikan minuman baru Aurawhite Dazzle Glopeptide gabungan laici dan ekstrak ros.