ALOR SETAR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai agar keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) hari ini yang sangat penting dalam menentukan sesuatu kerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tanpa penglibatan menyeluruh daripada pengundi terutama di enam negeri yang terlibat PRN, sukar untuk mana-mana kerajaan ditubuhkan.
“Pilihan raya ini penting, kalau orang tak keluar dia tak boleh tentukan siapa yang jadi kerajaan. Dahulu (pilihan raya umum) ramai sikit, kali ini tak berapa ramai (sebab) kadang-kadang orang tak ambil berat.
“Sepatutnya ramai keluar sebab (proses) ini untuk nak tentukan masa depan. Mereka kadang-kadang (kata) bosan (kerana) kalau pilih pun tak jadi apa, ini perasaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Dr. Mahathir bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN ini dengan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah, di sini.
Kedua-dua mereka yang mengundi bagi Dewan Undangan (DUN) Anak Bukit tiba di pekarangan pusat mengundi kira-kira pukul 9.19 pagi dan dilihat selesai membuang undi lima minit kemudian.
Sementara itu, Dr. Mahathir memaklumkan kesihatannya kini baik setelah menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lepas akibat demam.
“Kesihatan saya okay, cuma demam sedikit tetapi doktor selalu mendesak saya supaya pergi ke hospital. Saya tidak mahu ke hospital kerana saya merasakan duduk di rumah pun saya sudah boleh dirawat.
“Tetapi mereka desak saya perlu ke hospital, jadi saya ke sana dua kali seminggu selepas itu keluar. Saya baik sekarang,” katanya. –UTUSAN