Syukurlah, Adrian Teh lahir di Malaysia - Utusan Malaysia

Syukurlah, Adrian Teh lahir di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOMALIA berada dalam konflik dan ketegangan yang maha dahsyat dalam sejarah kemanusiaan di negara itu semasa 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) tiba di sana. 

Jika kita menyelak jurnal tulisan Christiane E. Philipp seperti yang termuat dalam Max Planck Yearbook of United Nations Law menjelaskan konflik Somalia sangat sukar dilerai ketika tahun 1993. 

Mereka tidak mempunyai mata wang, tiada kerajaan pusat dan kawasan pemerintahan pula ditentukan oleh perang antara puak. 

Semasa pemerintahan Mohamed Farrah Aideed, United Nations Operations (UNOSOM) menganggarkan ada 4.5 juta warga Somalia. 

Daripada jumlah itu, 65 peratus penduduk memerlukan bantuan sementara 1.5 juta penduduk lagi berada dalam tahap paling berisiko. 

Rangka membawa pendamaian di negara pincang itu dipersiapkan bagi menghantar bantuan memandangkan ramai yang mati akibat kelaparan dan penyakit. 

Adrian Teh, dengan pengalaman menghasilkan deretan filem aksi mencabar diri, mengeluarkan sebuah takah waktu dari tragedi hitam dan kelam ke layar panggung. 

Malbatt: Misi Bakara menjadi filem dengan bajet paling mahal iaitu RM20 juta yang diterbitkan enam syarikat gergasi sekali gus iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw. 

Adrian mengambil masa tiga tahun menulis skrip cerita 19 Askar Melayu yang menjadi satu-satunya negara yang rela masuk ke negara yang sedang kiamat itu bagi menyelamatkan 70 askar Amerika Syarikat di Bakara, Mogadishu. 

Memandangkan filem ini bakal menjadi sebuah tribute kepada perajurit negara, Adrian cuba merangka sebuah skrip yang seimbang antara 19 pelakon. 

Menghantar mereka latihan di kem ketenteraan agar mereka tidak canggung memegang senjata dan memahami jargon dalam perang. 

Usahanya menjadi, kerana masing-masing berlakon dalam frekuensi sama (kecuali seorang pelakon) cuma saya merasakan Shaheizy Sam lebih menonjol dari aspek keberkesanan lakonan dan ekspresi yang sinerginya dibantu sangat hebat oleh pelakon asal Somalia, Musa Aden. 

Ada beberapa babak dalam filem ini yang pada saya sangat mahal seperti seorang lelaki tua berpegang tangan dengan anaknya bersama beberapa ekor kambing melihat dua helikopter Black Hawk ditembak. 

Juga, seorang kanak-kanak lelaki Somalia yang berdiri di depan kereta kebal dan melontar batu. 

Sepanjang menonton filem ini, Adrian cuba menunjukkan beberapa perkara iaitu kehebatan askar Malaysia, membersihkan nama Islam yang ditunggang militan serta bagaimana kecilnya layanan serta hormat askar Amerika Syarikat terhadap Malaysia. 

Tahniah patut dilayangkan kepada Adrian. Namun, Malbatt: Misi Bakara walau bagaimanapun seperti kurang memberi sebuah perasaan kegerunan dan dinginnya keadaan perang ketika itu. 

Mungkin kerana garapannya yang terasa lompong. Ada beberapa babak terasa berjela. Kerana Somalia berhadapan masalah kelaparan yang teramat, alangkah bagus jika keadaan masyarakat dapat dihadirkan ke dalam layar. 

Begitu juga kekejaman Aideed semasa memerintah. Ia mungkin akan menjadi lebih nyata. 

Selain itu, seperti filem Adrian yang lainnya, beberapa dialog dalam filem ini kedengaran canggung, seperti dicetak dari skrip. 

Juga kesan janaan komputer yang boleh diperbaiki kerana ia kelihatan sangat kartun khususnya di akhir filem ini. 

Walaupun Malbatt: Misi Bakara bukanlah filem yang sempurna, namun kita tidak boleh mengetepikan bagaimana Adrian berani menampilkan naskhah tentang wira kita dan tidak bergantung kepada apa yang dicoretkan dari naskhah negara Barat. 

Pada saya, apa yang dilakukan Adrian sangat patriotik dan heroik sekali. Kita memerlukan orang seperti Adrian yang menjadi jambatan penghubung antara masa kini dan kegemilangan sejarah. 

Hadirlah ke pawagam 24 Ogos ini kerana kita layak mengetahui sebuah rahsia antara hidup mati mereka yang berjuang sebelum kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya