PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjemput dua pemimpin muda mewakili kerajaan dan pembangkang untuk berdebat denganya secara terbuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan negara.
Dua pemimpin tersebut adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, jemputan tersebut adalah selari dengan inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
“Dengan itu, saya ingin menjemput saudara Adam Adli dan Ahmad Fadhli. Dua pimpinan anak muda, dalam parti masing-masing yang saya hormati.
“Saya setuju bahawa kita memerlukan banyak ruang dan peluang bagi pemimpin negara kita berbahas, bertanding, bertembung, Dengan mengemukakan idea, solusi, serta polisi bagi menyelesaikan masalah-masalah terutamanya masalah orang muda yang semakin mencabar pada hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Syed Saddiq berkata, sudah tiba masanya budaya debat diraikan untuk dasar yang lebih baik dan mengamalkan politik berteraskan penyelesaian dalam negara.
“Saya berharap jemputan saya dipenuhi dan kita dapat bersama di atas pentas perdebatan untuk membincangkan hala tuju anak muda kita,” katanya. – UTUSAN