Syarikat, pengarah didakwa guna 19,546 liter diesel tanpa permit - Utusan Malaysia

Syarikat, pengarah didakwa guna 19,546 liter diesel tanpa permit

LOKE Mei Chan (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan menggunakan barang kawalan iaitu 19,546 liter minyak diesel tanpa permit, Januari lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan barang kawalan iaitu 19,546 liter minyak diesel tanpa permit, Januari lalu.

Syarikat K2 Bitumen Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Datuk Loke Mei Chan, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa telah melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menggunakan barang kawalan diesel sebanyak 19,546 liter dalam menjalankan perniagaan tanpa permit yang dikeluarkan oleh pengawal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di K2 Bitumen Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang dalam daerah Batu Gajah pada pukul 10.55 pagi, 13 Januari 2023.

Pertuduhan terhadap syarikat itu dikemukakan mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan kedua atau kesalahan berulang didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Mei Chan turut didakwa atas kesalahan serupa pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 22(4) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya manakala untuk kesalahan kedua dan berulang pula denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Syazwani Zawawi manakala orang kena saman (OKS) pula diwakili peguam Muhammad Iman Johar.

Terdahulu, Syazwani mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap OKS bagi menjamin kehadirannya ke mahkamah berikutan jawatan pengarah itu boleh bertukar selain melibatkan penyelewengan barang kawalan dengan jumlah yang besar menerusi Op Tiris.

Mahkamah kemudian menetapkan tiada jaminan diberikan kepada OKS dan 22 September depan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya