Syarikat konglomerat disaran guna tanah terbiar usaha projek pertanian - Anwar - Utusan Malaysia

Syarikat konglomerat disaran guna tanah terbiar usaha projek pertanian – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika menghadiri program minum petang bersama pekerja industri dan pembuatan Pulau Pinang di Dell Technologies di Bukit Tengah, Pulau Pinang hari ini. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya syarikat konglomerat perladangan negara memajukan tanah terbiar milik masing-masing menerusi perusahaan projek tanaman makanan dan penternakan.

Menurut Perdana Menteri, usaha itu dapat membantu negara mengukuhkan aspek keterjaminan makanan dalam mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan.

“Semua syarikat-syarikat perladangan besar seperti Sime Darby, Guthrie dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), saya sudah arahkan untuk untuk tanam sayur, buah-buahan dan ternakan.

“Syarikat yang besar ini memiliki kepakaran dan kalau (syarikat) ada ladang atau tanah kosong, saya nak suruh mereka usahakan kerana kita ada beratus ekar tanah terbiar.

“Malaysia ini subur, kenapa tidak cukup sayur dan buah? Ini soal ‘supply dan demand’ (tawaran dan permintaan).

“Mengusahakan tanah-tanah terbiar ini adalah lebih baik untuk jangka masa sederhana sekali gus dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program minum petang bersama pekerja industri dan pembuatan Pulau Pinang di Dell Technologies di Bukit Tengah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengurangkan kos sara hidup dalam jangka masa pendek, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi bagi makanan asas seperti ayam dan telur.

“Inisiatif Rahmah turut akan diperluaskan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan setiap rakyat menerima manfaat sekali gus mengurangkan bebanan kos sara hidup yang dihadapi,” katanya.

Ketika ditanya berhubung usaha kerajaan dalam menstabilkan nilai ringgit terhadap mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, isu berkenaan kompleks kerana terdapat negara-negara lain turut berdepan dengan situasi sama.

“Ringgit kini menguat sedikit susulan kemasukan pelaburan asing seperti Bosch, Tesla, Geely dan Aramco.

“Oleh itu, jangan remehkan akan keperluan kekuatan kerajaan yang stabil bagi meyakinkan lebih banyak pelabur untuk melabur di negara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya