Syarikat barang kemas Lubnan mohon saman terhadap Rosmah diputuskan tanpa bicara

Syarikat barang kemas Lubnan mohon saman terhadap Rosmah diputuskan tanpa bicara

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan mengemukakan permohonan agar saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta, diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara penghakiman terus.

Penghakiman terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.

Syarikat berkenaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham & Koay bagi mendapatkan perintah supaya barang kemas itu dikembalikan dalam keadaan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Secara alternatif, Global Royalty memohon Rosmah membayar kos barang kemas RM67.5 juta jika barang kemas berkenaan atau mana-mana bahagian daripadanya tidak boleh diperolehi semula dalam keadaan munasabah atau tidak boleh dipulihkan sepenuhnya.

Sementara itu, isteri bekas Perdana Menteri pula memfailkan permohonan supaya Global Royalty diperintah memberikan jaminan kos sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah, dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.

Dalam permohonannya, Rosmah berkata jaminan kos itu adalah kerana jika beliau berjaya di dalam tindakan saman dan memperolehi kos terhadap syarikat terbabit, dia akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos kerana Global Royalty sebuah syarikat asing.

“Menurut pernyataan tuntutan, plaintif adalah sebuah syarikat yang diperbadankan dan didaftarkan di Lebanon dan mempunyai Alamat di Wata el Msaitbeh, Senno Building 8th Floor, Beirut, Lubnan. Maka, plaintif adalah sebuah syarikat asing di luar bidang kuasa mahkamah ini. Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian timbal balik bagi
penguatkuasaan penghakiman dengan Lubnan,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan (kiriman) mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.

Plaintif berkata, ia memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada isteri bekas Perdana Menteri itu memintanya untuk mengembalikan barang kemas terlibat.

“Selepas itu, defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain (dikirim) kepadanya tiada dalam miliknya, tetapi disita pihak berkuasa dan kini dalam jagaan mereka.

“Kami sekali lagi meminta defendan memulangkan barang kemas itu dengan harapan dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dan mengekalkan persahabatan.

“Walaupun beberapa kali meminta memulangkan barang kemas itu, defendan masih gagal, abai dan enggan memulangkannya,” katanya.

Pada tahun 2019, Global Royalty
memfailkan saman terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.

Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya