KUALA KANGSAR: Langkah-langkah tegas perlu dilaksanakan bagi membendung pihak yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum yang semakin disensasikan dan dipolitikkan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha-usaha preventif menghindarkan perkara ini daripada berlarutan wajib dirintis kerana jika dibiarkan berlarutan, sangatlah tidak baik.
Baginda bertitah, kestabilan negara akan terjejas, sekali gus akan menjejaskan usaha-usaha pembangunan dan usaha-usaha membangunkan ekonomi.
“Perkara-perkara menyentuh agama, raja dan kaum yang disensasikan, jika berlaku hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan Beta, dan mendapatkan nasihat Beta jika perlu dilaporkan kepada pihak-pihak berkuasa dan badan perundangan,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke -172 di sini Istana Iskandariah di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, Ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan hendaklah berperanan proaktif membantu usaha-usaha preventif dan usaha-usaha membendung perkara tersebut.
Titah baginda, Orang Besar Jajahan terutamanya hendaklah mendampingi Jawatankuasa dan pegawai masjid, sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing, berusaha ke arah menyatupadukan rakyat.
“Orang-orang Besar Jajahan juga hendaklah mendampingi diri dengan warga pendidik dan memberi masa menghadiri program-program kokurikulum di sekolah-sekolah, membantu usaha-usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada raja dan negara, di samping membantu usaha-usaha memupuk perpaduan kaum,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini dan golongan itu wajib diberikan bimbingan untuk menjadi warga berharga kepada negara bangsanya.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin menyeru Orang Besar Jajahan mendampingi golongan remaja dengan mengadakan pertemuan, dialog dan perbincangan dengan pemimpin belia di jajahan masing-masing.
“Berikan masa untuk menghadiri dan meraikan kegiatan para belia di jajahan masing-masing.
“Bimbing dengan kata-kata nasihat dan hulurkan bantuan untuk menjayakan kegiatan-kegiatan mereka untuk membolehkan mereka menjadi warga yang berharga kepada negara bangsanya.” titah Sultan Nazrin. – UTUSAN