PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R. Ramanan hari ini.
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim, Baginda dalam pertemuan itu dipersembahkan taklimat tentang kerja-kerja yang dilaksanakan MITRA dalam menambah baik serta membantu isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini.
Kata hantaran itu, Baginda juga memperkenankan kerjasama antara MITRA dan Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) bagi membantu yayasan itu dalam menggerakkan usaha serta aktivitinya bagi masyarakat India di negeri Johor.
“Yayasan-yayasan Diraja Johor semuanya di bawah pengawasan saya. Saya mengalu-alukan sesiapa pun yang sudi bekerjasama dengan yayasan ini untuk membantu Bangsa Johor yang memerlukan,” titah Baginda melalui hantaran tersebut. – UTUSAN