ALOR SETAR: Kenaikan subsidi padi daripada RM360 kepada RM500 bagi satu tan metrik yang berkuat kuasa hari ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertepatan dengan musim menuai ketika ini.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengumuman itu melegakan sebahagian besar pesawah di sesetengah kawasan yang sudah mula menuai padi di kawasan sawah masing-masing.
“Masa (pengumuman) sudah betul sebab orang dah mula ambil padi. Kalau dia tunggu selepas pilihan raya naya bagi orang yang ambil padi sekarang, mereka akan terlepas subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tunku, hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SHPP) itu membolehkan pesawah di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan metrik tuaian padi mereka selepas ini.
Namun, pengumuman itu dipersoalkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa tidak kena pada masa kerana menjelang hari pengundian pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, peningkatan subsidi itu amat dinanti-nantikan oleh semua petani sama ada di dalam MADA atau luar kawasan itu.
“Siri bantuan ini menunjukkan hasrat Perdana Menteri untuk memastikan kemiskinan tegar dapat diatasi dan mengangkat golongan B40 dan negeri Kedah khususnya. Ia bermula dengan kerjasama Bernas, selepas itu komitmen menyediakan RM3 bilion untuk melengkapkan infrastruktur pertanian.
“Kemudian bantuan bulanan RM200 selama tiga bulan yang keseluruhan ini menunjukkan komitmen Perdana Menteri bukan saja beliau bercakap tapi diterjemahkan dalam semua tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan juga sudah mengambil kira kemampuan kewangan sebelum melaksanakan pemberian subsidi berkenaan.
“Saya fikir bukan ada masalah sama ada musim pilihan raya atau pun di luar pada pilihan raya, sebab sesuatu yang baik untuk rakyat ini tak semestinya datang pada waktu tertentu tapi kalau kebetulannya masa pilihan raya apa salahnya.
“Saya ambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana umum satu lagi faedah yang dinikmati oleh petani dalam penanaman padi kerana Kedah sebagai Jelapang Padi memiliki kira-kira 66,000 ketua keluarga meliputi kawasan MADA dan di luar kawasan itu,” katanya. –UTUSAN