PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berazam mahu menjadikan amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai panduan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, masyhur, aman dan sejahtera.
Menurut Ahmad Zahid, suara dan hasrat Perdana Menteri itu akan menjadi pegangan buat dirinya, kementeriannya serta seluruh pasukannya di semua peringkat.
“Beliau (Anwar) mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memaknai kemerdekaan negara dengan jiwa dan pemikiran merdeka.
“Maknanya, dari peringkat tertinggi sehinggalah seluruh masyarakat, dari bandar ke desa haruslah menyelami dan memberi erti sebenar kemerdekaan yang merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Saya meneliti ucapan beliau yang menyebut tidak kira bangsa dan agama, kita adalah satu keluarga dan kita mesti pertahankan semangat bahawa negara ini adalah milik kita semua rakyat Malaysia.
“Saya juga mendengar lontaran suara Perdana Menteri yang mahukan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak boleh terkenal dengan mercu tanda gagah, tetapi harus juga terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat termasuk yang tersisih dan terpinggir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ahmad Zahid, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, orang ramai menghadiri majlis amanat Perdana Menteri yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023, esok. -UTUSAN