ALOR GAJAH: Status Masjid Tanah sebagai daerah keempat di Melaka selepas Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin masih di peringkat penelitian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri tidak pernah menghentikan usaha walaupun polisi berkenaan dibuat ketika pentadbiran Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Jelas beliau, kajian terperinci perlu dilakukan kerana untuk mewujudkan daerah baharu memerlukan kos pengurusan yang tinggi.
“Saya tidak buat polisi ini tetapi saya melihat untuk menjadikan Masjid Tanah sebagai daerah mesti dibuat kajian terperinci kerana melibatkan kos pengurusan yang agak tinggi. Jika Masjid Tanah menjadi sebuah daerah kecil sudah pasti kos kutipan hasil Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berkurangan dan kemungkinan MPAG tidak boleh lagi menjadi sebuah majlis.
“Apa sekali kehendak pun kita sedang meneliti dan tidak pernah menamatkan usaha untuk menjadikan Masjid Tanah sebagai daerah baharu. Kita sedang berusaha mempertingkatkan jumlah pendapatan bagi mengimbangi kos operasi yang akan ditanggung oleh sesuatu pejabat daerah itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program MPAG Bersama Masyarakat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Pada Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Sulaiman mempersoalkan perkembangan yang sangat perlahan untuk merealisasikan perancangannya menjadikan Masjid Tanah sebagai daerah baharu walaupun perkara itu telah diputuskan sejak Januari 2021.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ab. Rauf menasihatkan agar pengunjung tidak memperbesarkan sesuatu isu tanpa mengetahui punca sebenarnya.
Katanya, keadaan Surau Warisan di Banda Hilir dekat sini yang tular beberapa hari lalu sebenarnya sedang dalam perhatian pihak berwajib untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.
“Surau ini dibina oleh Perbadanan Melaka (MCorp) yang mana bumbung surau di bahagian kanan bocor akibat pokok tumbang. Dalam proses kita hendak tambah baik, orang tengok dan dia buat hantaran dalam media sosial seolah-olah kerajaan tidak ambil perhatian.
“Saya hendak katakan di sini bahawa orang yang suka menularkan dalam media sosial supaya lebih berhati-hati. Kita terima teguran tetapi kesannya (tular) agak besar dan kita tidak mahu perkara kecil diperbesarkan,” ujarnya. – UTUSAN