‘Stalker’ jurugambar wanita diarah jalani pemeriksaan psikiatri - Utusan Malaysia

‘Stalker’ jurugambar wanita diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Stalker jurugambar
MOHAMAD Safiq Rosli hadir di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menghadapi pertuduhan dekat Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pereka sambilan diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini berhubung pertuduhan dihadapinya kerana mengganggu seorang wanita di media sosial, Twitter.

Tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 37, diarahkan berbuat demikian oleh Majistret Sasha Diana Sabtu selepas permohonan tersebut dibuat Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada awal prosiding, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Saifq didakwa menggunakan akaun ‘@sopert99’ secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, yang merupakan pemilik akaun ‘@ShaFoShizzle’ sekitar 15 Julai hingga 21 Julai lalu.

Tertuduh sepatutnya tahu gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa. Antara gangguan itu adalah membabitkan luahan perasaan.

Berikutan itu pertuduhan adalah suatu kesalahan menghendap di bawah seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 507A (3) akta yang sama jika sabit kesalahan iaitu penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan dibacakan, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan berikutan tertuduh mempunyai rekod melanggar syarat jaminan di United Kingdom (UK).

“Dia ditangkap pada 4 April lalu di UK dan diberi jaminan polis serta perlu hadir ke mahkamah pada 2 Jun. Namun, tertuduh melanggar syarat jaminan dan melarikan diri ke Malaysia, sekali gus disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara itu,” kataya.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak mendapat bantahan daripada peguam yang mewakili Mohamad Safiq, Fithril Hakim Ab. Jalil yang memberitahu pihaknya menyerahkan kepada pakar untuk pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 September dan mengemukakan laporan psikiatri tertuduh.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan lelaki didakwa menganggu jurugambar wanita sejak lapan tahun lalu itu menjadi individu pertama dituduh di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 507A baharu, sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan atau mengetahui bahawa berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Mana-mana individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Malah, hasil siasatan polis mendapati, lelaki warga tempatan yang menetap di Shah Alam itu sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa dan dalam masa sama memberikan komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN