SHAH ALAM: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dilapor akan melalui empat peringkat dengan kos RM800 juta pada fasa pertama diluluskan bagi pembinaan stadium yang melibatkan proses perobohan struktur dan kerja tanah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek stadium itu juga menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) yang termasuk dalam perancangan Sungai Klang Maritime Gateway (SMG).
“Kos pembangunan berperingkat, untuk fasa satu sahaja kita sudah lepaskan, kos untuk stadium bersih adalah sekitar dalam RM800 juta, stadium sahaja. Tetapi sudah pasti kemudahan sekelilingnya nanti akan mengambil kos-kos yang lain.
“Tetapi kita akan buat berperingkat sebab itu kita sangat berhati-hati, Datuk Ruslan Abd. Aziz (Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor) menjadi orang yang bertanggungjawab untuk meneliti hal ini,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Sebelum ini, beliau memaklumkan penilaian JKR terhadap pembinaan semula stadium memerlukan perbelanjaan sebanyak RM787 juta dan ia dianggap lebih berbaloi berbanding terus membaiki dan menyelenggara kemudahan berusia hampir 40 tahun itu.
Dalam pada itu, Amirudin turut menempelak pihak yang mahu mengkritiknya mengenai projek pembinaan semula Stadium Shah Alam dan memaklumkan kos tersebut dinilai oleh JKR dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).
“JKR, MBI dia bukan angka yang saya petik dan dapat dalam mimpi, sebaliknya ia adalah yang diteliti dan dicadangkan oleh pencadang dan juga JKR.
“Keseluruhannya ada tiga ke empat fasa, tetapi kita baru luluskan fasa pertama, kalau lepas kita akan tengok juga pekeliling sebab kalau angka-angka disebut itu kalau betul kita ikut termasuk buat hotel dan sebagainya.
“Jadi, saya rasa ini dalam proses, kita baru setuju. Baru peringkat pertama iaitu merobohkan dan membuat kerja tanah, kita baru lulus setakat itu, yang lain belum lagi. Kita buat dengan peringkat demi peringkat supaya kerajaan negeri tidak terbeban tetapi projek boleh dilaksanakan,” jelasnya.
Katanya lagi, perobohan dan kerja-kerja tanah akan dimulakan seawal September ini. – UTUSAN