GEORGE TOWN: Golongan nelayan di negeri ini meminta kerajaan membantu para nelayan untuk menstabilkan harga barangan serta peralatan menangkap ikan yang didakwa naik berlipat kali ganda susulan kejatuhan nilai ringgit.
Mereka mendakwa, harga kebanyakan peralatan menangkap ikan seperti jaring, pemberat, tali dan sebagainya meningkat mendadak susulan kejatuhan ringgit memandangkan barangan berkenaan diimport dari negara luar khususnya Thailand.
Difahamkan, jaring menangkap ikan yang dahulunya berharga RM100 meningkat sehingga RM150 kini, manakala tali yang dahulu dijual RM15 sekilogram naik ke RM20 sekilogram.
Menurut Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli, kerajaan dapat membantu menstabilkan harga peralatan menangkap ikan yang diimport dari Thailand dengan memberikan kebenaran kepada agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mengimport peralatan berkenaan.
”Sekarang permit import barangan penangkapan ikan ini diberikan kepada ejen-ejen, jadi agak sukar untuk kerajaan memantau dan mengawal harganya.
”Sekiranya permit import diberikan kepada agensi seperti LKIM, kami yakin harga barangan berkenaan dapat dikawal dan tidak membebankan nelayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, tambahnya, agensi penguat kuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga boleh membantu nelayan dengan memantau harga-harga jualan barangan peralatan menangkap ikan di pasaran.
Jelas beliau, agensi berkenaan perlu memastikan tiada manipulasi harga barangan berkenaan oleh peniaga di pasaran kerana tempias kenaikan harga barangan itu terpaksa ditanggung nelayan.
”Kami tidak dapat menjual ikan dengan harga yang melebihi harga yang telah ditetapkan oleh agensi penguat kuasa, tetapi harga peralatan yang tinggi kami perlu serap sendiri,” katanya.
Roslizan berkata, selain peralatan asas seperti jaring dan tali, kos enjin sangkut juga meningkat bermula sekitar awal tahun ini.
”Sebelum ini anggaran kos enjin sangkut sekitar RM38,000, namun tahun ini harganya meningkat naik sehingga RM42,000.
”Peningkatan harga ini terlalu mendadak dan sukar untuk nelayan-nelayan pantai yang mempunyai modal kecil untuk meneruskan kerja mereka sekiranya kos barangan serta peralatan menangkap ikan terus meningkat,” katanya. -UTUSAN