KUALA NERUS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sebuah helikopter khas bagi menghantar tiga peti undi di Pulau Redang dekat sini sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Helikopter jenis 9M-KSM yang disewa khas SPR itu membuat tiga penerbangan untuk membawa tiga peti undi ke pulau berkenaan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.
Jurucakap SPR negeri berkata, helikopter berkenaan yang membawa peti undi itu berlepas dari padang Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail dan mendarat di Lapangan Terbang Pulau Redang.
Menurutnya, pelepasan pertama helikopter itu dibuat pada pukul 11.02 pagi tadi sambil diiringi empat petugas termasuk seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan seorang anggota polis bagi setiap penerbangan.
“Sebaik sahaja helikopter mendarat di Lapangan Terbang Pulau Redang, van SPR mengambil dan membawa ketiga-tiga peti undi berkenaan ke Balai Polis Pulau Redang.
“Prosedur ini dibuat bagi perjalanan hari pengundian di tiga saluran bagi DUN Batu Rakit membabitkan penduduk di Pulau Redang dengan jumlah 1,307 pengundi,” katanya.
Pada PRN kali ini, DUN Batu Rakit akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Bazlan Abd. Rahman daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd. Shafizi Ismail (Pas).
Bazlan memenangi kerusi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 selepas menewaskan dua pencabarnya, calon Pas, Mohd. Shafizi Ismail dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amir Long dengan majoriti 299 undi. – UTUSAN