Smart SBB Mini Sekinchan bantu elak kebergantungan beras import - Utusan Malaysia

Smart SBB Mini Sekinchan bantu elak kebergantungan beras import

MOHAMAD Sabu (dua dari kiri) membawa mesin tuaian padi sewaktu meninjau Projek Smart SBB Mini Sekinchan di Kampung Lat 1000, Tambun Tulang, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan mampu melonjakkan peningkatan hasil padi ke tahap yang lebih baik dalam mengurangkan kebergantungan kepada import beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan projek itu dijangka dapat membantu dalam keterjaminan makanan negara memandangkan buat masa ini, Malaysia menerima eksport beras dari India, Vietnam, Thailand dan beberapa negara lain sebanyak 35 peratus.

Beliau berkata, buat masa ini, projek tersebut telah dilaksanakan di Kampung Lat 1000, Perlis, Jertih, Terengganu dan Kampung Tok Mengkula, Kedah.

“Di Kelantan pula projek ini masih dalam perbincangan dan saya berkeyakinan sekiranya pesawah sanggup ubah kaedah tanaman mengikut modul Smart SBB Mini Sekinchan maka bekalan beras negara pastinya akan mencukupi,” katanya sewaktu Program Santai Agro Madani Penuaian Padi Smart SBB Mini Sekinchan di Kampung Lat 1000, Tambung Tulang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh: Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelaksanaan projek itu dapat membantu dalam menambah hasil sebanyak sekurang-kurangnya lapan metrik tan bagi satu hektar sekali gus meningkatkan 80 peratus keperluan tahap sara diri (SSL) beras negara menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, perancangan ini juga adalah selaras dengan komitmen kerajaan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dalam meningkatkan tahap pendapatan pengeluaran makanan dan SSL beras negara.

“Menerusi pelaksanaan ini, SSL beras negara dijangka dapat ditingkatkan dari 63 peratus kepada 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan 80 peratus menjelang tahun 2030.

“Malah projek Smart SBB Mini Sekinchan ini merupakan usaha segera dilaksanakan sebelum kerajaan melaksanakan projek pengairan MADA yang mana kosnya adalah hampir RM4 bilion,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya sebelum ini juga telah mengeluarkan arahan awal agar mesin-mesin tuaian dapat ditukar kepada saiz yang lebih kecil dan ringan dalam mengatasi isu tumpahan padi yang menyebabkan kerugian kepada petani.

Katanya, aspek penjagaan tanaman dari peringkat awal adalah sangat penting malah isu tumpahan padi itu juga boleh membawa kepada pengurangan hasil sebanyak 30 peratus sekiranya tidak diatasi.

“Hari ini juga saya dapat lihat tumpahan padi itu berkurangan apabila kita menggunakan mesin tuai yang bersaiz lebih kecil dan dapat membantu meningkatkan hasil petani” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya