PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan Skim Perubatan Madani ke 11 lagi daerah lain bagi membantu lebih ramai rakyat khususnya kumpulan B40 mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta umum (GP).
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelaksanaan skim berkenaan telah dimulakan di 10 daerah sejak 15 Jun lalu sebagai salah satu inisiatif Bitara Madani bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.
Menurut beliau, bagi 11 daerah terbaharu itu, empat daerah iaitu Kota Setar, Kuala Muda (Kedah), Kuala Terengganu dan Kuala Nerus (Terengganu) akan bermula pada minggu kedua bulan ini.
“Seterusnya, daerah-daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan), Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis akan bermula pada minggu keempat bulan ini.
“Skim Perubatan Madani yang ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah, dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes-kes akut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Zaliha berkata, perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum.
Jelasnya, skim ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta dengan setiap isi rumah diperuntukkan untuk separuh tahun kedua 2023 adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga.
“Manakala bagi warga emas (tanpa pasangan) diberikan RM125 dan RM75 bagi kategori bujang,” katanya.
Bagi memastikan akses yang mudah dan cepat, Zaliha berkata, mereka yang layak hanya perlu membawa MyKad ke klinik panel Skim Perubatan Madani untuk menerima rawatan akut percuma.
Sehingga kini, lebih dari 700 GP berdaftar sebagai klinik panel di bawah Skim Perubatan MADANI.
KKM mengalu-alukan GP di daerah terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani bermula hari ini dengan melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.
“KKM akan terus komited dalam menyediakan dan menambahbaik penjagaan kesihatan berkualiti secara holistik dan mampan bagi meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN