KUALA TERENGGANU : Kekalahan memalukan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, semalam adalah kerana wujudnya sikap ‘abang besar’ dan tidak menghormati sesama rakan gabungan.
Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, walaupun Terengganu memang menjadi kubu kuat Pas namun pihaknya tetap optimis dapat memenangi beberapa kerusi jika melakukan strategi yang betul dengan perancangan yang baik.
Menurutnya, untuk mencapai matlamat itu, sikap dominasi abang besar perlu diketepikan dan rakan gabungan perlu bersikap terbuka menerima kelebihan tertentu rakan lain yang dianggap agak baru atau tidak begitu besar.
“Analoginya adalah sebuah hospital besar walaupun ramai doktornya tidak semestinya mempunyai pakar terbaik yang dapat mengubati penyakit tertentu.
“Hospital itu tetap memerlukan kepakaran khusus yang dimiliki pusat perubatan yang lebih kecil tetapi mempunyai pakar yang boleh merawat kondisi tersebut.
“Di sinilah perlunya untuk mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan lain dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran dan jangan mengamalkan sikap abang besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam PRN semalam, Pas menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan berjaya mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti yang sangat besar.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata kelebihan PH adalah di kawasan pengundi urban dan bandar yang memiliki pengundi campuran.
Menurutnya, prinsip konsep tersebut telah dipersetujui pada peringkat awal tetapi malangnya tidak dilaksanakan dan kerusi campuran seperti DUN Bandar dan Cukai tidak diberi kepada parti komponen PH dari Amanah atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini kerana PH mempunyai kelebihan.
“Contoh yang paling relevan ialah di DUN Kota Lama di Kelantan yang berjaya dimenangi calon Amanah. Jika strategi yang sama dilakukan di Kuala Terengganu, tidak mustahil kejayaan itu juga boleh dicapai.
“Zaman sikap abang besar telah lama berlalu dan mentaliti ini perlu dikikis jika kita mahu maju. Saya tidak begitu terkejut keputusan PRN di Terengganu tetapi saya amat kecewa.
“Sikap lebih inklusif menghormati sesama kita dan bukan sikap abang besar perlu diwujudkan dalam gabungan BN- PH di negeri Terengganu,” katanya. – UTUSAN