Siapa kata anak muda tidak patriotik? - Utusan Malaysia

Siapa kata anak muda tidak patriotik?

MUHAMMAD IMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kelompok anak muda menafikan dakwaan mereka tidak menjiwai semangat patriotisme terutama menjelang sambutan kemerdekaan pada setiap 31 Ogos.

Mereka menyanggah tohmahan golongan muda tidak pernah menghargai kepayahan serta pe­ngorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Muhammad Iman Safuan, 20, yang berasal dari Air Mati, Johor berkata, dia tidak pernah melupakan jasa pejuang yang memastikan negara ini mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Katanya, dia amat berbangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia dan menyanjung tinggi tokoh pejuang kemerdekaan.

“Saya bersyukur hidup di bumi Malaysia. Negara kita aman di mana rakyat berbilang kaum bersatu padu. Tidak se­perti negara lain yang berlaku huru-hara dan sebagainya, tetapi di negara ini kita boleh berjalan, bersiar, belajar dan bekerja tanpa rasa takut,” katanya.

NOR ARA MARISA

Seorang lagi pelajar, Nor Ara Marisa Baharudin, 19, dari Puchong, Selangor berkata, dia tidak menolak ada segelintir anak muda tidak prihatin de­ngan makna kemerdekaan yang dikecapi.

“Tidak semua yang dilabelkan tidak patriotik, tetapi masih ada golongan muda yang prihatin dan cintakan negara. Saya sendiri amat cintakan negara, setiap kali sambutan kemerdekaan saya begitu bersemangat mahu meraikannya.

“Saya tahu perjuangan orang lama yang membayar dengan harga mahal melalui peluh ke­ringat, darah serta nyawa untuk memerdekakan Malaysia,” kata mahasiswa Universiti Taylor Kampus Subang, Selangor itu.

MUHAMMAD HAZIQ

Bagi Muhammad Haziq Farhanuddin Abd. Hamid, 25, dari Lenggeng, Negeri Sembilan pula, hakikatnya ramai generasi baharu cakna akan perjuangan tokoh terdahulu.

Katanya, ini kerana ada dalam mereka melahirkan rasa kecintaan dan semangat patriotisme melalui media sosial.

“Malah kalau kita lihat setiap kali penganjuran sambutan kemerdekaan ramai generasi muda hadir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjiwai sema­ngat pejuang terdahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya