SEPANG: Seorang jiran kepada pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat ramah.
Abdul Rahim Hussain, 70, berkata, walaupun Sharipuddin baru sahaja menetap di Taman Desa Vista itu sejak hujung tahun lalu, dia selesa dengan sikap arwah yang gemar menyapa jiran tetangga di kawasan berkenaan.
Menurut Abdul Rahim, Sharipuddin yang lebih mesra disapa sebagai Pak Din itu turut dikenali dengan sifat peramah oleh jiran-jiran lain.
“Dia (Sharipuddin) orang yang sangat peramah suka bersapa dengan penduduk sekitar. Setiap kali keluar rumah mesti ada sahaja yang dia akan bersembang untuk bertanya khabar,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Vista di sini hari ini.
Jelas Abdul Rahim, pemergian Sharipuddin juga begitu mengejutkan mereka dan dirasai oleh jiran yang tinggal berhampiran.
“Kita tidak sangka orang yang baru menetap di sini pergi meninggalkan kami, harap keluarga Pak Din tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Dalam nahas ngeri pukul 2.40 petang, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut dalam kejadian di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16 di sini, semalam.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian. – UTUSAN