Shabudin, abang Sanusi tolak tawaran kerja demi PRN

Shabudin, abang Sanusi tolak tawaran kerja demi PRN

SHABUDIN menunjukkan jarinya yang telah dicelup dakwat setelah selesai mengundi di SK Naka dan gambar kanan memaparkan bapanya, Md. Nor Taib yang mengundi bersama adiknya di SK Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang, Sik. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor iaitu Shabudin, 57, sanggup menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar demi memastikan dia dapat mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) hari ini. 

Shabudin yang tiba kira-kira pukul 8.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya selesai membuang undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, kira-kira 15 minit kemudian. 

Ketika ditemui, anak kedua daripada 13 beradik itu berkata, 12 lagi adik-beradiknya termasuk Muhammad Sanusi serta kedua ibu bapanya turut akan mengundi di tempat yang sama. 

“Saya sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu, tapi kerana perjuangan saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi. 

“Insya-Allah selepas ini saya akan terbang ke negara lain, saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya di sini, hari ini.

Pada 10 Julai lalu, nama Shabudin menjadi perhatian ramai apabila tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Muhammad Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE). 

Muhammad Sanusi kemudiannya menafikan gambar banglo di Sik yang ditularkan pihak tertentu menerusi media sosial adalah miliknya dan memaklumkan ia adalah kepunyaan Shabudin yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut.

Sementara itu, Shabudin mengakui dia tidak berasa tertekan dengan keadaan itu berikutan sudah biasa dengan alam pekerjaan yang menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi. 

“Kerja saya pun sudah dalam keadaan tertekan, jadi saya sudah biasa dalam keadaan ini, saya tak kisah dengan apa yang berlaku (kisah banglo tular),” katanya. 

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Sanusi, Md. Nor Taib, 82, yang hadir berkerusi roda turut selesai mengundi pada pukul 9.15 pagi tadi sambil ditemani seorang lagi abang kepada Muhammad Sanusi iaitu Sobri, 54.

“Alhamdulillah pak cik sudah selesai mengundi, sejak negara ada kan pilihan raya, pak cik tak pernah ponteng mengundi,” katanya.

DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan penyandangnya, Muhammad Sanusi daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya