Sesi libat urus KPM bincang kurikulum, silibus sekolah - Utusan Malaysia

Sesi libat urus KPM bincang kurikulum, silibus sekolah

KPM
FADHLINA Sidek menghadiri Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan sesi libat urus secara besar-besaran bersama pelbagai pihak termasuk ibu bapa bagi membincangkan isu berkaitan kurikulum dan silibus pelajar sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif berkenaan sebagai persediaan kitaran silibus baharu yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada 2027.

“Sesi bagi kurikulum akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan semua pihak terlibat dan semua isu yang disentuh akan dibincangkan nanti.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana KPM sedang meneliti isu itu dengan lebih serius  dan memberi jaminan sesi libat urus  berkenaan akan melibatkan semua pihak,” katanya selepas melancarkan Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, pihaknya turut memandang serius isu kesukaran silibus yang disuarakan ibu bapa sejak kebelakangan ini.

“Hanya lima peratus silibus yang dilihat sukar dan dikhaskan bagi pelajar yang mempunyai aras pemahaman lebih tinggi. Kita kena adil pada anak-anak yang berkemahiran sedikit tinggi berbanding lain dan sudah boleh dikuasai peringkat umur mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat menghentikan budaya ‘tak viral, tak selesai’ dengan menyalurkan maklumat kepada saluran betul yang disediakan KPM.

“Kita menyediakan platform khas aduan kes buli dan bersifat umum lain menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA). Semua pihak disaran mengikuti proses alur kerja KPM dengan menguar-uarkan aduan di platform aduan rasmi tersebut,” jelasnya.

Kata Fadhlina lagi, pihaknya tidak mahu masyarakat dalam proses salah kerana tidak semua apa yang ditularkan adalah betul dan perlu menggunakan platform sah.

“Kita bimbang negara ini hanya akan dibanjiri idola namun kemarau dengan keteladanan. Sebagai contoh, kita tidak tahu sejauh mana kebenaran apa yang seseorang pempengaruh katakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya