KULIM: Seorang pesara tentera menterjemahkan semangat patriotik dan cintakan negara melalui hiasan di gerainya dengan Jalur Gemilang serta bendera Kedah sempena sambutan kemerdekaan kali ini.
Ahmad Jusoh, 62, dari Kampung Belakang Hospital, di sini berkata, dia tidak kisah mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membeli bendera-bendera berkenaan kerana menyifatkan usaha itu lebih bermakna.
“Mungkin padangan orang ramai berasakan saya mendapat bendera ini secara percuma. Hakikatnya bendera ini dibeli dengan duit sendiri serta ada sikit sumbangan beberapa pihak ketika menyertai konvoi sempena bulan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Ahmad berkata, golongan muda terutama kanak-kanak yang melihat persekitaran rumah atau gerai dipenuhi Jalur Gemilang berasa pelik kerana mereka berfikiran perhiasan itu selalunya hanya dipasang di kawasan sekolah, pejabat kerajaan atau premis perniagaan.
“Ini terjadi mungkin kerana sambutan bulan kemerdekaan semakin kurang diraikan oleh orang ramai untuk memasang bendera di kediaman masing-masing. Kecuali bendera yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tidak seperti dahulu setiap rumah akan memasang bendera apabila tibanya sambutan Hari Kemerdekaan dan apabila kita berjalan di kawasan pekan pun akan melihat kemeriahan setiap kedai penuh dengan bendera Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kos yang dikeluarkan untuk menghiasi gerainya itu tidak mahal bagi membeli kira-kira 20 helai bendera bersaiz besar.
Katanya, harga bukan menjadi persoalan tetapi apa yang penting dia bangga melihat Jalur Gemilang berkibar di sekeliling gerainya kerana cara itu adalah luahan hatinya bagi menzahirkan kecintaan kepada negara.
“Semangat patriotik masih lagi menebal dalam diri walaupun sudah bersara lebih 20 tahun lalu sebagai anggota tentera,” katanya. – UTUSAN