LUMUT: Seramai sembilan individu termasuk tujuh pelancong warga tempatan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan orang awam dalam kejadian sekitar pukul 10.40 pagi.
Difahamkan, bot rekreasi yang dinaiki dua sekeluarga bersama dua krew itu terbalik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai.
Kesemua mangsa juga dikatakan tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot rekreasi berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 10.58 pagi.
Katanya, setiba di lokasi, didapati sebuah bot telah terbalik dengan dua mangsa didapati lemas.
“Mangsa telah dibawa naik ke darat oleh orang awam. Mangsa lelaki berusia 17 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) telah sedar dan dibawa ke hospital oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 34 tahun diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi yang diketuai Ketua Balai BBP Seri Manjung, Suhaimy Mohd. Suhail dan pegawai operasi, Ismadi Darusman tamat pada pukul 12.15 tengah hari. – UTUSAN