MENDAPAT berita kehamilan, umumnya adalah saat paling menggembirakan bagi seorang wanita.
Walaupun perjalanan selama sembilan bulan itu indah, biasanya ia tidak mudah dilalui oleh bakal ibu, terutama bila kurang mendapat sokongan daripada segi psikologi, emosi, fizikal, mental dan spiritual.
Selain pasangan dan ahli keluarga terdekat, sokongan ini boleh dimanfaatkan daripada kunjungan ke klinik antenatal, sama ada klinik ibu mengandung, pengamal perubatan umum dan klinik antenatal pakar.
Antenatal
Perkhidmatan antenatal diwujudkan khusus untuk menyokong wanita sepanjang fasa kehamilan dan selepas bersalin. Perkhidmatan ini bertujuan memantau kesejahteraan ibu dan bayi dalam kandungannya, mengenal pasti dan menangani risiko seawal mungkin.
Di klinik ini juga, disediakan bimbingan untuk melayari fasa hamil, bersalin dan selepas bersalin. Objektif penjagaan ante dan post natal akan tercapai dengan baik, jika bakal ibu mengunjungi klinik yang sesuai dengan ekspektasi mereka. Hubungan selesa antara pengamal perubatan dengan ibu hamil, pasangan dan keluarga terdekat mereka, sangat penting.
Di klinik ini, biasanya kaunseling pemakanan yang komprehensif, bimbingan tentang senaman, rehat dan teknik pengurusan stress akan diberikan. Kaunseling dan sokongan penyusuan susu ibu juga diberikan oleh kaunselor penyusuan yang bertauliah. Pendidikan tentang mengelakkan bahan berbahaya seperti tembakau, alkohol, dan ubat-ubatan tertentu juga penting, kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada janin yang berkembang.
Berapa usia kandungan yang paling sesuai untuk memulakan lawatan ante natal? Lawatan awal dapat memberi banyak manfaat.
Bagi bakal ibu yang mempunyai riwayat kesihatan tertentu, contohnya, darah tinggi, diabetes mellitus, penyakit thyroid, SLE, atau apa-apa juga penyakit. Mereka perlu datang ke klinik jika bercadang untuk hamil,
Golongan ini dinasihatkan merancang kehamilan dengan baik, supaya penjagaan optima dapat dilakukan dan mereka memasuki fasa hamil dengan kesihatan pada tahap baik. Kaunseling dan tindakan kesihatan prakehamilan sangat membantu untuk mengurangkan risiko morbiditi dan mortaliti ibu dan anak.
Pada lawatan pertama, ibu-ibu akan disaring dari segi potensi risiko sepanjang kehamilan dan sewaktu bersalin. Sonografi awal membolehkan diagnosis dan tindakan awal dibuat sekiranya kandungan itu di luar rahim atau mengalami keguguran, janin lebih dari seorang , uri bawah dan usia kandungan dapat diketahui secara tepat.
Usia kandungan yang tepat adalah sangat penting dan dapat dikenalpasti sekiranya sonografi dapat dilakukan awal. Dengan kemajuan inovasi perubatan, pemeriksaan tidak invasif boleh dilakukan awal. Sonogarfi yang dilakukan antara 11 hingga 13 minggu kehamilan, boleh membantu saringan kandungan dengan genetik yang tidak normal seperti Down, Patau atau Edwards Syndrome, dan penyakit bukan genetik lain.
Perlu diingatkan pemeriksaan nuchal translucency ini, hanya boleh dibuat dengan tepat oleh pengamal perubatan atau sonografer bertauliah sahaja.
Ujian darah pranatal ibu adalah terbaik dilakukan pada awal kehamilan. Ujian ini digunakan untuk memeriksa penyakit dan jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi yang dikandungnya. Jika terdapat sebarang masalah semasa diagnosis tersebut, intervensi awal dapat dilakukan.
Pada trimester kedua, imbasan ultrasound terperinci kadangkala dipanggil imbasan anomali sangat disyorkan.
Imbasan ini melihat secara terperinci tulang, jantung, otak, saraf tunjang, muka, buah pinggang, anggota badan dan perut. Tetapi imbasan ini mempunyai limitasi dan tidak semua objek boleh diimbas dengan tepat. Adalah penting untuk membenarkan pengamal perubatan atau sonografer yang bertauliah untuk melakukan prosedur ini.
Vaksin bagi ibu hamil
Terdapat beberapa vaksin penting yang perlu diberikan kepada wanita dalam kumpulan umur reproduktif/subur. Ada yang sangat disyorkan sebelum hamil dan ada yang dalam trimester kedua atau ketiga.
Vaksinasi terhadap tetanus, difteria, aselular pertusis adalah perlu semasa setiap kehamilan, tidak kira bila anda mengambil suntikan terakhir anda. Suntikan selesema atau influenza sangat disyorkan dan boleh diambil pada mana-mana trimester. Vaksinasi ini akan memberikan imuniti kepada ibu dan bayi yang mereka kandung.
Vaksinasi influenza tidak hanya disyorkan pada ibu- ibu hamil sahaja, tetapi kesemua isi rumah yang bakal menerima ahli baru. Ini kerana jangkitan influenza di negara kita semakin meningkat dan mempunyai kadar jangkitan yang tinggi.
GBS
Menjelang beberapa minggu terakhir kehamilan, swab pada vagina sangat disyorkan kepada yang berniat untuk bersalin secara normal. Ujian ini dilakukan bagi mengesan jangkitan bakteria yang dipanggil Group-B Streptococcus (GBS). Sekiranya didapati dijangkiti GBS, pemberian antibiotik yang sesuai dalam masa empat jam selepas bersalin adalah perlu.
Sepuluh hingga 30 peratus wanita hamil adalah pembawa GBS. Kebanyakan wanita hamil yang membawa GBS mempunyai bayi sihat. Tetapi terdapat risiko kecil di mana GBS boleh berjangkit kepada bayi semasa bersalin. Walaupun jarang berlaku, jangkitan GBS pada bayi baru lahir boleh menyebabkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa.
Semoga penjagaan yang sempurna dalam sembilan bulan yang indah ini memberikan kegembiraan yang berkekalan.
Penulis ialah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Puteri.