Semarakkan idea 'nasionalisme Malaysia' -Chin Tong

Semarakkan idea ‘nasionalisme Malaysia’ -Chin Tong

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan dicadangkan menyemarakkan idea ‘nasionalisme Malaysia’ atau Bangsa Malaysia untuk meraih sekurang-kurangnya separuh daripada undi masyarakat Melayu bagi memastikan kemenangan Pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong berkata, sejak tahun 2008, naratif parti politik yang bertanding pada pilihan raya hanya menumpukan terhadap kempen bersifat negatif dengan menarik undi rakyat terhadap sesebuah parti kerana tidak suka terhadap parti, calon atau pemimpin lawan.

Jelasnya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengubah cara berfikir iaitu tidak boleh lagi menang hanya dengan membandingkan diri dengan Perikatan Nasional (PN) seperti menjual idea bahawa gabungan tersebut lebih buruk atau sebagainya.

“Dalam konteks nasionalisme Malaysia yang saya maksudkan adalah prihatin, cinta dan sayang kepada negara. Ia merupakan semangat Malaysia milik kita bersama, saling bantu-mebantu antara kita untuk bersama-sama memajukan negara tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Menurut beliau, teorinya mengenai had untuk PN yang menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini adalah had yang mampu dicapainya jika mereka masih membangkitkan serta mengadu domba kemarahan orang Melayu, ia tidak membawa gabungan berkenaan ke mana-mana.

“Kemarahan itu akan reda, ia akan memberi kemenangan mudah untuk Kerajaan Perpaduan pada PRU16 jika PN terus bermain politik kaum. 

“Namun begitu, jika PN berjaya meyakinkan lebih 30 pengundi pengundi Cina dan India pada masa yang sama, mengekalkan sokongan Melayu terhadapnya, ia berpeluang membentuk kerajaan pada PRU16,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, PN tidak sukar untuk memikat hati pengundi bukan Melayu jika masih memainkan sentimen perkauman sebaliknya perlu menjadi lebih sederhana seperti PH dan BN ketika ini.

Justeru, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan perlu menang dengan cara menjadikan dirinya diterima baik oleh semua kaum dan seramai mungkin.

“Memujuk emosi rakyat menerima nasionalisme Malaysia adalah sama seperti berusaha menghasilkan gabungan pengundi untuk memilih Kerajaan Perpaduan. Untuk memenangi PRU16, Kerajaan Perpaduan perlu meletakkan diri sebagai pembina negara,” katanya.

Berdasarkan sejarah politik negara, beliau berkata, gabungan yang membentuk kerajaan telah menang besar pada PRU 1964, 1974, 1982, 1995 dan 2004. 

“Pada setiap PRU ini, gabungan Perikatan/BN menang kerana berjaya meyakinkan lebih 50 peratus pengundi daripada setiap kaum.

“Pada PRU 1964, berikutan Konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia serta era Perang Dingin, rakyat Malaysia bersatu hati menyokong parti kerajaan dengan memberi undi kepada Perikatan. 

“Pada PRU 1974, selepas peristiwa 13 Mei dan kewujudan gabungan baharu BN, parti pemerintah menang besar. Pada PRU 1982 dan 2004, masing-masing menampilkan calon Perdana Menteri baharu yang menjanjikan era perubahan telah mendapat kemenangan yang memberangsangkan dan pada PRU 1995, selepas beberapa tahun menikmati kejayaan ekonomi dan harapan untuk Bangsa Malaysia, BN menang 65 peratus undi popular, yang terbanyak pernah dimenangi di negara ini,” katanya.

Tegasnya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di tempat dan masa paling sesuai untuk memegang peranan sebagai pembina negara. 

“Kisah perjuangan politik Anwar yang penuh dengan duri dan air mata sepanjang 25 tahun lalu selari dengan era kejatuhan Malaysia yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah kuasa ekonomi Asia Tenggara pada 1990-an yang sekarang cuba bangkit kembali.

“Kini, apa yang tidak terbayang dulu, sudah menjadi kenyataan, bekas musuh politik sudah duduk semeja. PH bersama BN bergabung dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang mampu memberi naratif positif kepada rakyat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya