PADAWAN: Sekurang-kurangnya 1,200 klinik kesihatan di seluruh negara perlu dibaik pulih dengan segera.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni bagaimanapun mendedahkan di Sarawak sahaja secara keseluruhannya 38 projek naiktaraf klinik daif telah disenaraikan.
“Kita mempunyai hampir 1,200 klinik kesihatan seluruh negara yang perlu kita baik pulih ketika ini. Kerja – kerja membaik pulih klinik daif di Sarawak ini secara keseluruhannya adalah 38 projek, dan enam klinik telah siap ketika ini, dan selebihnya sedang dalam pelaksanaan, termasuk kerja kerja menukar atap, komponen-kompenan yang telah rosak dan bukan hanya melibatkan pembinaan klinik yang baharu.
“Ini bermaksud menjelang Disember tahun ini, kita yakin kesemua projek daif dibawah Projek Bitara Madani yang diperuntukkan RM 8.5 juta akan siap sepenuhnya, justeru itu kita kini melihat kemungkinan menambah lagi senarai-senarai klinik daif untuk tahun 2024,” ujar Lukanisman.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai melakukan lawatan kerjanya di Klinik Kesihatan Siburan, Padawan di sini hari ini.
Justeru itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyasarkan kesemua projek menaik taraf klinik kesihatan daif di Sarawak dapat diselesaikan menjelang Disember akhir tahun ini. Antara klinik kesihatan yang daif di Sarawak termasuk di Tebakang, Tebedu, Tatau dan Bekenu.
“Ini adalah jaminan yang diberikan oleh Perrdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu beliau ingin melihat kejayaan tahun 2023 adalah untuk memastikan peruntukan ditambah atau dikekalkan untuk kita meneruskan pelaksanaan Projek Bitara Madani
“Oleh itu, satu jaminan bahawa klinik ini (Klinik Kesihatan Siburan) yang baharu ini akan siap dan menjangkakan pengoperasian daripada pihak Kementerian Kesihatan menjelang 2024 untuk memulakan perkhidmatan di sini kerana ini merupakan satu impak yang besar kepada masyarakat di kawasan Siburan,” tambahnya.
Klinik Kesihatan Siburan yang telah beroperasi lebih 30 tahun lalu, kini bakal digantikan dengan sebuah klinik kesihatan baharu, dengan keluasan 7.74 ekar dan dijangka mula beroperasi pada awal tahun 2024.
Selain dilengkapi peralatan baharu serta kakitangan yang mencukupi, klinik kesihatan yang dibina itu juga akan dilengkapi dengan bilik makmal, unit pergigian selain menyediakan perkhidmatan kecemasan selepas waktu pejabat.
Justeru itu, pembinaan klinik baharu ini amat dialu-alukan oleh masyarakat setempat sekitar Daerah Siburan, yang sebelum ini terpaksa mendapatkan kemudahan serta rawatan kesihatan di luar kawasan daerah itu berikutan kekangan perkhidmatan klinik kesihatan sedia ada.-UTUSAN