SHAH ALAM : Seramai 48 peserta akan bertarung dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) peringkat negeri Selangor di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 3 September ini.
Presiden Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI), Zainal Mohd Jais berkata, SDPK bertujuan melahirkan masyarakat Selangor khususnya yang menghargai dan menghayati hasil karya kreatif dalam bentuk puisi.
“Kami ingin memberi ruang kepada pendeklamasi puisi untuk mengetengahkan bakat mereka dalam penyampaian puisi yang menarik dan kreatif. Penganjuran sayembara ini juga diharapkan dapat menanamkan minat dan kecintaan warga Selangor terhadap bahasa dan sastera Melayu, khususnya puisi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sayembara tahun ini dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Tengah dan Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu.-UTUSAN